KUCHING: Proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang lebih santai dan menyeronokkan perlu diutamakan bagi murid Tahun Satu berusia enam tahun sebelum penekanan diberikan kepada aspek akademik yang lebih berat.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Sri Fatimah Abdullah berkata, tumpuan harus diberikan kepada fasa peralihan yang lebih lancar ke alam persekolahan formal terlebih dahulu.
“Bagi kemasukan Tahun Satu pada tahun 2027, kanak-kanak tidak seharusnya dibebankan dengan tekanan akademik. Fasa ini perlu memberi tumpuan kepada pembelajaran yang menyeronokkan sebagai satu bentuk transisi.
“Mereka tidak seharusnya dipaksa terlalu awal untuk menjalani sesi pembelajaran di dalam kelas untuk tempoh yang panjang, sebaliknya diperkenalkan secara beransur-ansur kepada rutin berstruktur bagi mengelakkan tekanan emosi serta kognitif.
“Kanak-kanak ini masih dalam proses perkembangan sosial, emosi dan kognitif, maka pendekatan yang fleksibel adalah penting bagi mengekalkan minat mereka terhadap pendidikan formal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Latihan Pengajar (TOT) bagi TOY8 di Bangunan Baitulmakmur 2, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa kebanyakan negara maju telah memulakan pendidikan Tahun Satu pada usia enam tahun dengan sokongan rangka kerja pendidikan awal kanak-kanak yang kukuh.
Menurutnya, persediaan tersebut merangkumi aspek menghadapi jadual berstruktur, etika tingkah laku di dalam bilik darjah, interaksi sosial serta ketahanan emosi dan bukannya tertumpu kepada penguasaan akademik semata-mata.
“Kemasukan ke sekolah rendah boleh menjadi pengalaman yang mencabar berikutan bilangan murid yang lebih ramai berbanding di peringkat prasekolah, terutamanya bagi kanak-kanak yang belum bersedia menghadapi perubahan persekitaran secara drastik.
“Walaupun ramai kanak-kanak mampu menyesuaikan diri dengan baik, terdapat juga segelintir yang mengalami kebimbangan atau tekanan pada hari pertama persekolahan yang menunjukkan tahap kesediaan berbeza-beza.
“Justeru, guru perlu memahami bahawa kadar perkembangan kanak-kanak adalah berbeza walaupun mereka berada dalam kumpulan umur yang sama,” tegas beliau.
Beliau turut mencadangkan agar rekod perkembangan murid prasekolah dikongsi bersama guru Tahun Satu bagi membantu mengenal pasti kanak-kanak yang memerlukan sokongan emosi atau bantuan pembelajaran tambahan.
“Rekod sedemikian merangkumi profil perkembangan, ciri personaliti serta keperluan pendidikan khas bagi membolehkan guru memberikan sokongan yang lebih bersasar semasa tempoh peralihan tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Besar SeDidik Sarawak, Ayub Dahari memberi jaminan bahawa pihaknya akan terus menyediakan perkhidmatan prasekolah kepada kanak-kanak berusia empat dan lima tahun.
“Saya tidak melihat langkah ini akan memberi kesan kepada SeDidik kerana kami tetap akan menyediakan perkhidmatan berkenaan untuk kanak-kanak lain.
“Melihat kepada pelaksanaan inisiatif tersebut, saya bersetuju sekiranya kanak-kanak memulakan Tahun Satu lebih awal sekiranya mereka sudah benar-benar bersedia,” katanya ringkas.



