ARTIKEL

Kredit: Bernama

PDP Wanita: Nilai ADUN Tasik Biru berdasarkan rekod, bukan retorik politik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sayap Wanita Parti Demokratik Progresif (PDP) menggesa rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru menilai prestasi penyandangnya, Datuk Henry Harry Jinep, berdasarkan rekod pembangunan dan khidmat yang dilaksanakan di kawasan itu.

Menolak kritikan terhadap ADUN berkenaan, sayap itu berkata rekod kerja di lapangan perlu menjadi ukuran, bukannya dakwaan dan retorik politik yang kembali dimainkan apabila pilihan raya semakin hampir.

Jelas Sayap Wanita PDP, pelbagai projek pembangunan dilaksanakan sejak 2016, termasuk projek menaik taraf Jalan Kuching-Bau lama bernilai RM100 juta serta pengeluaran 6,168 geran tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) sejak 2018.

“Kami menggesa rakyat menilai kepimpinan beliau berdasarkan rekod khidmat dan pembangunan di lapangan, bukan semata-mata berdasarkan dakwaan atau retorik politik,” katanya dalam kenyataan.

Jelas kenyataan itu, projek Jalan Kuching-Bau bernilai RM100 juta membabitkan pelebaran laluan sepanjang 5.4 kilometer dari Kampung Sibuluh ke pekan Bau kepada jalan dua hala.

Antara projek lain yang disenaraikan ialah Pusat Kebudayaan Bidayuh Bau, Bau Sport Arena, Jambatan Tondong-Sebuku, Jambatan Musi-Buso serta Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serikin yang masih dalam pembinaan.

Mengenai isu tanah, Sayap Wanita PDP berkata, sebanyak 6,168 geran tanah NCR di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak telah dikeluarkan sejak 2018, manakala proses berkenaan diteruskan setiap tahun tanpa mengira sama ada pilihan raya semakin hampir.

“Kerja untuk rakyat bukan hanya dilakukan ketika pilihan raya.

Bekalan air bersih, elektrik, jalan raya, sekolah, kemudahan kesihatan dan kemudahan masyarakat memberi kesan secara langsung kepada kehidupan seharian rakyat,” tegasnya.

Ujarnya, rekod kepimpinan Henry tidak seharusnya dinilai berdasarkan projek yang telah siap semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira visi, misi dan pelan pembangunan bagi kawasan itu.

“Pelan Induk Bau 2016 menyediakan hala tuju pembangunan yang lebih tersusun, sekali gus memastikan pelaksanaan inisiatif dibuat berdasarkan perancangan jangka panjang,” katanya.

Katanya, pengundi juga boleh merujuk Henry’s Admin Page – N2 Tasik Biru yang diwujudkan pada 19 Februari 2016 bagi melihat rekod perkembangan projek, aktiviti kemasyarakatan dan pelbagai inisiatif di kawasan berkenaan.

“Jangan hanya dengar.

Lihat.

Jangan hanya percaya dakwaan sebelah pihak.

Semak rekod.

Akhirnya, biarlah rakyat yang menentukan,” katanya lagi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU