KUALA LUMPUR: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengesahkan seorang pegawainya ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan membawa masuk warga asing tanpa dokumen sah seperti dilapor Bernama.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, menjelaskan penahanan itu berlaku susulan seorang pegawai wanita menyedari tindakan pegawai atasannya yang didakwa di luar prosedur ditetapkan.
Beliau memaklumkan AKPS bersedia bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membongkar rangkaian lebih besar yang membabitkan penyeludupan migran, selain menegaskan rakyat Malaysia sudah muak dengan kegiatan sedemikian.
Menurut beliau, kes itu tidak boleh dipandang ringan kerana kegiatan sebegitu berpotensi melibatkan counter setting, namun beliau enggan mengulas modus operandi kerana siasatan masih berjalan.
Dalam pada itu, beliau memuji keberanian pegawai wanita tersebut, menyifatkannya sebagai titik permulaan perubahan dalam AKPS dan berhasrat bertemu pegawai itu untuk menyampaikan penghargaan.



