KUALA LUMPUR: Bagi memastikan integriti dan kebocoran data dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) tidak berlaku, tahap integriti pegawai yang mempunyai akses data dinilai menerusi proses tapisan keselamatan oleh Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO).
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib, berkata akses kepada data dalam sistem itu juga hanya dibenarkan kepada pegawai yang dilantik dan terhad kepada peranan masing-masing sahaja, dan peraturan itu merupakan sebahagian daripada prosedur operasi standard pengurusan sistem PADU.
“Kumpulan pakar bebas terdiri daripada ahli akademik dan golongan profesional yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang turut dilantik bagi memainkan peranan sebagai semak dan imbang dalam memastikan keampuhan keselamatan sistem PADU,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Ekonomi di Dewan Negara hari ini.
Sementara itu, Hanifah berkata kerajaan akan bergerak ke arah pelaksanaan fasa dua PADU iaitu penentuan golongan sasar dan mekanisme pemberian subsidi bersasar selepas tempoh kemas kini berakhir pada 31 Mac ini.
Katanya, tumpuan kerajaan dalam minggu terakhir ini adalah meningkatkan kemas kini maklumat individu dan isi rumah terutama di kawasan dikenal pasti berisiko besar tersisih daripada menerima bantuan kerajaan. – BERNAMA






