Keputusan Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa pegawai kanan polis yang dipercayai terlibat dalam kes kemalangan maut seorang pelajar tingkatan lima di Meru Jumaat lepas di bawah kesalahan membunuh membuktikan ketelusan pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husin berkata tindakan mendakwa pegawai berpangkat DSP itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaaan di Mahkamah Majistret Ipoh esok diputuskan Jabatan Peguam Negara berdasarkan bukti dan keterangan yang diperoleh hasil siasatan menyeluruh oleh pegawai penyiasat.
“Siasatan kes ini dikendalikan oleh Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah Ipoh bersama pasukan siasatan dengan baik dan berkredibiliti. “
“Saya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana anggota atau pegawai yang melakukan jenayah, saya akan pastikan siasatan yang telus dan adil dijalankan bagi menjaga nama baik pasukan ini,” katanya kepada Bernama.



