KOTA SAMARAHAN: Di saat kanak-kanak lain membesar dengan perhatian ibu bapa dan kehidupan yang teratur, tiga beradik malang terpaksa membesar dalam ruang kosong tanpa kasih seorang ibu yang dipercayai menghilang sejak tahun 2024.
Qaireen Zenia Amanda Abdullah, 14, Qariel Zafrel Ariffin Zainul, 11, dan Qairee Zarel Azzib Zainul, 8, kini dijaga oleh ibu saudara mereka iaitu adik kepada bapa mereka.
Bapa mereka pula kini sedang menjalani hukuman penjara, sekali gus menyebabkan ketiga-tiga kanak-kanak berkenaan kehilangan tempat bergantung.
Situasi itu mendorong Pejabat Kebajikan Masyarakat (PKM) Bahagian Samarahan melancarkan usaha mengesan ibu kandung serta waris terdekat bagi memastikan kebajikan dan masa depan mereka terus terbela.
Kes tersebut dikesan selepas PKM menerima aduan awam mengenai seorang kanak-kanak yang dipercayai diabaikan.
Hasil siasatan lanjut mendapati kanak-kanak berkenaan mempunyai dua lagi adik-beradik yang turut berdepan nasib yang sama.
Pegawai Pelindung Kes Rosita Ramlee berkata, ibu kandung mereka, Hazimah Aron, masih gagal dikesan sehingga kini.
“Siasatan mendapati ibu kandung berkenaan dipercayai mengabaikan tanggungjawab menyediakan keperluan asas termasuk pemeliharaan, makanan, pakaian dan tempat tinggal yang mencukupi kepada anak-anaknya,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mahkamah telah mengeluarkan perintah perlindungan selepas mendapati kanak-kanak berkenaan memerlukan penjagaan dan perlindungan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
“Susulan itu, mereka kini ditempatkan di bawah jagaan sementara Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) manakala usaha mengesan waris kandung diteruskan.
“Kehadiran waris amat penting bagi membolehkan urusan penempatan kekal dan perancangan masa depan kanak-kanak tersebut dilaksanakan mengikut saluran undang-undang,” ujarnya.
Sehubungan itu, PKM Bahagian Samarahan merayu mana-mana individu yang mengenali ibu kandung atau mempunyai maklumat mengenai ahli keluarga kanak-kanak berkenaan supaya tampil membantu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi PKM Bahagian Samarahan atau hadir ke pejabat berkenaan bagi membantu siasatan serta proses kebajikan yang sedang dijalankan.



