BINTULU: Seorang lelaki warga emas cedera selepas dirempuh sebuah motosikal dalam kejadian kemalangan di Jalan Tanjung Baru l, di sini, hari ini.
Insiden kira-kira jam 8.15 pagi itu dilaporkan berlaku ketika mangsa yang berusia 65 tahun berjalan kaki seorang diri.
Pegawai Pertahanan Awam Bahagian Bintulu, Kapten (PA) Mohd Johari Mohd Taufik berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.20 pagi sebelum mengarahkan sepasukan anggota ke lokasi untuk menghulurkan bantuan.
“Akibat kejadian itu mangsa mengalami luka pada bahagian kiri kepala dan kaki kanan.
“Kita melakukan rawatan awal dengan memasang kolar serviks pada leher mangsa sebelum menghantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.
Setakat ini ujarnya, keadaan mangsa stabil.



