ARTIKEL

Pekan Sabtu Oya terus berkembang

Nur Farihan Razali

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Seawal jam 6.00 pagi setiap Sabtu, kawasan Pekan Sabtu Oya dipenuhi pengunjung yang tidak mahu melepaskan peluang untuk mendapatkan pelbagai hasil laut segar, hasil kebun dan hasil hutan yang dijual terus oleh nelayan serta petani tempatan.

Menjelang jam 8.00 hingga 10.00 pagi, suasana di pekan ini semakin meriah apabila bot nelayan mula mendarat membawa pelbagai jenis ikan segar yang menjadi tarikan utama orang ramai.

Tidak hairanlah kebanyakan jualan habis sebelum tengah hari sehingga operasi pasar itu tidak pernah dilanjutkan ke sebelah petang sejak mula diperkenalkan.

Keunikan itu menjadikan Pekan Sabtu Oya bukan sekadar lokasi urus niaga mingguan, malah berkembang sebagai antara destinasi yang sinonim dengan Daerah Kecil Oya, selain menjadi pemangkin ekonomi komuniti setempat dan tarikan kepada pengunjung dari pelbagai kawasan.

Pengerusi Pekan Sabtu Oya merangkap Pengerusi Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM), Aini Suhaili berkata, Pekan Sabtu Oya ditubuhkan pada 27 Ogos 2005 atas cetusan idea Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti yang juga ADUN Dalat, Datuk Sri Fatimah Abdullah, ketika beliau masih menjawat jawatan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri.

Menurutnya, penubuhan pekan tersebut bertujuan menghimpunkan nelayan dan petani di satu lokasi bagi membolehkan mereka memasarkan sendiri hasil tangkapan dan tanaman kepada pengguna tanpa melibatkan orang tengah.

“Sejak hari pertama beroperasi sehingga kini, Pekan Sabtu Oya hanya dibuka pada Sabtu dan beroperasi sehingga sekitar tengah hari kerana kebanyakan hasil jualan habis dijual dalam tempoh beberapa jam sahaja.

“Waktu paling sibuk adalah antara jam 8.00 hingga 10.00 pagi apabila nelayan mula mendaratkan hasil tangkapan mereka.

“Ikan segar yang dibawa terus dari laut menjadi tarikan utama kepada pengunjung,” katanya kepada Suara Sarawak.

Beliau berkata, ketika ini terdapat kira-kira 98 peniaga yang bernaung di bawah Pekan Sabtu Oya, walaupun jumlah tersebut berubah dari semasa ke semasa berikutan terdapat peniaga baharu yang menyertai pekan itu manakala sebahagian lagi berhenti berniaga.

Penyertaan terbuka kepada penduduk setempat, namun terdapat juga peniaga dari luar kawasan, termasuk dari Bintangor, yang sanggup datang seawal jam 4.00 pagi setiap Sabtu bagi menjalankan perniagaan.

Ujarnya, produk yang paling mendapat sambutan adalah hasil laut, terutama ikan segar, selain hasil kebun dan hasil hutan yang dibawa sendiri oleh petani serta penjaja tempatan.

Sehubungan itu, beliau mengakui pada peringkat awal, bukan mudah untuk memperkenalkan jenama Pekan Sabtu Oya kepada masyarakat.

“Namun, hasil usaha berterusan, orang ramai kini sudah mengenali Pekan Sabtu Oya.

“Apabila tiba Sabtu, ramai yang terus mengingati Pekan Sabtu Oya sebagai destinasi membeli barangan basah seperti ikan dan hasil tani utama,” katanya lagi.

Aini menjelaskan, Pekan Sabtu Oya merupakan satu-satunya pasar tani yang tidak berada di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan, sebaliknya, diuruskan oleh komuniti melalui jawatankuasa yang dipilih dalam kalangan peniaga sendiri.

Ketika ini, Pekan Sabtu Oya ditadbir oleh dua entiti, iaitu kawasan bangunan baharu di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), manakala premis lama masih diuruskan oleh Jawatankuasa Pekan Sabtu Oya.

“Kewujudan Pekan Sabtu Oya memberi impak besar terhadap taraf hidup nelayan dan usahawan tempatan.

“Dahulu mereka hanya menjual hasil tangkapan dan tanaman, namun kini sebahagian daripada mereka berjaya berkembang menjadi usahawan serta menerima pelbagai bentuk bantuan daripada Jabatan Perikanan Laut Sarawak.

“Pekan Sabtu Oya juga merupakan antara rakan strategik Jabatan Perikanan Laut Sarawak dan saya sendiri dilantik sebagai Ketua Jaringan Perikanan Sarawak bagi kawasan Oya,” jelasnya.

Sehubungan itu, walaupun MDDM bukan pihak yang menguruskan operasi harian Pekan Sabtu Oya, aspek kebersihan sentiasa diberi perhatian oleh jawatankuasa dan para peniaga.

Menurutnya, kerja-kerja pembersihan dijalankan setiap Jumaat dan Sabtu, manakala pada hari biasa peniaga sendiri mengambil inisiatif membersihkan kawasan berkenaan.

“Sejak awal penubuhannya, kami menerapkan semangat rasa memiliki dalam kalangan peniaga dan penduduk supaya mereka bersama-sama menjaga kebersihan serta kemudahan yang ada,” katanya lagi.

Aini juga berharap pengurusan dan pentadbiran Pekan Sabtu Oya dapat diserahkan kepada MDDM.

Katanya, perkara itu telah dibincangkan denganihak majlis dan cadangan tersebut akan dikemukakan kepada ADUN kawasan berkenaan.

Ujarnya, pengurusan oleh komuniti berdepan pelbagai kekangan, terutama dari segi kewangan kerana jawatankuasa tidak mempunyai peruntukan tetap dan hanya bergantung kepada bantuan wakil rakyat bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan serta penambahbaikan.

“Kebanyakan ahli jawatankuasa sedia ada juga semakin berusia, sekali gus menyukarkan usaha menguruskan Pekan Sabtu Oya secara berterusan.

“Saya berharap MDDM dapat mengambil alih pentadbiran supaya kawasan ini dapat diuruskan dengan lebih sistematik kerana majlis mempunyai tenaga kerja dan kemampuan kewangan untuk melakukan penambahbaikan,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, antara keperluan mendesak ialah membaik pulih prasarana sedia ada yang semakin uzur, termasuk menggantikan bumbung serta menyelenggara kawasan tebingan yang memerlukan kerja-kerja pembaikan.

Pada masa sama, beliau berharap masyarakat dapat menerima cadangan penyerahan pentadbiran kepada MDDM secara terbuka kerana langkah itu diyakini mampu meningkatkan tahap kebersihan, kemudahan awam serta keselesaan pengunjung.

“Matlamat kami adalah untuk memastikan Pekan Sabtu Oya terus berkembang sebagai pusat ekonomi komuniti, selain menyediakan lebih banyak peluang perniagaan kepada penduduk tempatan dan peniaga dari luar kawasan pada masa hadapan,” tambahnya lagi.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU