SARATOK: Seorang lelaki warga Myanmar dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari kapal Moi Soon 2 di Wharf Batu Pekan, Sungai Krian, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, mangsa yang dikenali sebagai Thu Utoo Aung, 20, merupakan pekerja di kapal tersebut.

“Kejadian berlaku semasa mangsa hendak menutup tapak lantai kapal bersama rakan kerjanya, tiba-tiba tersadung dan tersungkur lalu terjatuh ke Sungai Krian.
“Rakan sekerja cuba mencari untuk menyelamat, tetapi mangsa dipercayai terus tenggelam dan tidak timbul.

“Pengadu turut memaklumkan bahawa mangsa tidak pandai berenang dan setelah usaha mencari tidak berhasil, pengadu segera membuat laporan di Balai Polis Saratok,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ujar Mathew, Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) PDRM IPD Saratok telah didirikan dan beroperasi di lokasi untuk tugasan OP SAR.
Usaha untuk mengesan mangsa telah dilakukan dengan bantuan anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Saratok dan Angkatan Pertahanan Awam Saratok.
Kes masih dalam siasatan dan dikategorikan sebagai Kes Orang Hilang.
Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, operasi mencari mangsa dilakukan dengan kaedah pencarian di permukaan air menggunakan bot bomba dalam radius pencarian 200 meter ke hulu dan hilir dari tempat mangsa jatuh.
Operasi SAR ditangguh pada jam 5 petang dan akan disambung keesokan hari.


