MUKAH: Lebih 100 orang pekerja ladang sawit membantu operasi memadam kebakaran hutan yang berlaku berhampiran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Mukah, sejak malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah, Nicholas Belulin berkata, kerjasama daripada pihak ladang amat membantu operasi tersebut.

“Pasukan bomba juga terpaksa meredah belukar setinggi hampir empat meter bagi menjalankan operasi pemadaman tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut, pihaknya telah menerima laporan berkenaan kejadian kebakaran pada jam 9.33 malam semalam dan operasi pemadaman masih diteruskan sehingga kini.

Pasukan bomba menghadapi kesukaran memasuki lokasi kebakaran kerana tiada akses jalan yang sesuai.
“Kebakaran ini melibatkan kawasan hutan seluas kira-kira lima ekar dan masih lagi merebak.

“Usaha giat dijalankan bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak ke kawasan kebun rumbia milik penduduk berhampiran dan setakat ini, kerja-kerja pemadaman masih dijalankan” jelasnya lagi.
Tambah Nicholas, pihaknya melaksanakan operasi pemadaman menggunakan satu aliran hos sepanjang 300 kaki dengan nozle, dua pancutan, serta dua nozle tambahan yang mengambil sumber air terbuka (parit) menggunakan pam angkut.



