KUCHING: Kerajaan Sarawak meletakkan pembangunan pelabuhan sebagai agenda utama menerusi Pelan Induk Pelabuhan Sarawak yang dirangka khusus untuk melonjakkan negeri ini sebagai pemain utama dalam sektor perdagangan dan logistik global.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pelan itu merupakan tonggak utama transformasi logistik dan perdagangan negeri sejajar dengan matlamat Pelan Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030.
“Pelabuhan bukan sekadar tempat keluar masuk barang kerana kita mahu jadikan ia pemacu pertumbuhan ekonomi yang akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, merancakkan pelaburan dan menempatkan Sarawak sebagai hab logistik penting di rantau ini.
“Matlamat utama pelan ini adalah untuk mewujudkan sistem pelabuhan yang moden, cekap dan bersepadu serta mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya ketika menggulung perbahasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19.
Beliau yang juga merupakan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan memaklumkan bahawa pelan ini digerakkan oleh empat pemacu utama – penstrukturan semula tadbir urus; pemodenan serta pembangunan pelabuhan dan infrastruktur zon bebas serta pemacuan kepelbagaian ekonomi dan pengukuhan keterhubungan.
“Inisiatif ini akan membuka lebih banyak peluang perniagaan, memperkasa industri tempatan dan menghubungkan Sarawak ke pasaran antarabangsa dengan lebih berkesan.
“Apabila kita perkuat infrastruktur pelabuhan dan keterhubungan logistik, kita sebenarnya sedang membuka dunia kepada Sarawak dan Sarawak kepada dunia, ujarnya.
Beliau juga memberitahu model pembangunan zon perdagangan bebas yang diterapkan di Jebel Ali, Emiriah Arab Bersatu menjadi contoh terbaik bagaimana pelabuhan boleh menjana transformasi ekonomi secara besar-besaran.
Beliau menambah antara langkah penting yang sedang digerakkan ialah pemindahan hak milik Pelabuhan Bintulu daripada kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri.
“Pertukaran status Pelabuhan Bintulu daripada bidang kuasa Persekutuan kepada negeri kini berada di peringkat rundingan akhir.
“Walaupun terdapat pelbagai cabaran kompleks yang wujud dalam usaha besar sebegini, pemindahan sepenuhnya dijangka akan dimuktamadkan dalam tahun ini,” jelasnya.
Selain itu beliau turut memaklumkan, kerajaan negeri juga sedang menubuhkan satu entiti tunggal kawal selia iaitu Lembaga Pelabuhan Sarawak bagi menyelaras semua operasi pelabuhan di bawah satu badan susulan pewartaan Ordinan Lembaga Pelabuhan Sarawak pada Mei 2024.
Beliau juga memberitahu bahawa kajian teknikal dan ekonomi sedang dijalankan untuk pembangunan Pelabuhan Laut Dalam Tanjung Embang yang merangkumi penilaian impak alam sekitar, arus laut, tanah dan parameter kejuruteraan bagi menjamin kelestarian projek dalam jangka panjang.
Tambahnya, Sarawak turut memberi perhatian menerusi pelaksanaan projek bernilai RM208.9 juta di Delta Batang Baram, yang dilaksanakan oleh Lembaga Pelabuhan Miri (MPA) bagi menghidupkan semula peranan Miri sebagai pelabuhan strategik dengan kemajuan fizikal kini mencecah 10.7 peratus.


