PUTRAJAYA: Nilai memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai bersempena dengan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 mencecah RM12.6 bilion, melebihi sasaran awal sebanyak RM8 bilion.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pencapaian itu antaranya disumbangkan oleh nilai komitmen pelaburan dari China yang mencecah RM4 bilion, manakala Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menyumbang RM1.5 bilion khusus bagi membangunkan industri baja di Malaysia.
“Sasaran asal kita untuk MoU ialah RM8 bilion tetapi sekarang kita telah melepasi RM12.6 bilion. Hal ini membuktikan keyakinan pelabur yang amat tinggi tentang industri pertanian dan agro makanan negara.
“Kita harap perkara ini berterusan esok sebab sambutan terhadap MAHA kali ini amat luar biasa.
Esok Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan majlis penutup,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penutup Konvensyen MAHA 2026 di sini.
Konvensyen dua hari bermula semalam itu dihadiri 200 peserta terdiri daripada golongan peladang, penternak, nelayan dan usahawan agromakanan muda, dengan menumpukan kepada perkembangan teknologi terkini dalam sektor pertanian, penternakan, perikanan dan industri makanan.
Selain MoU, Mohamad berkata MAHA 2026 telah berjaya menarik kehadiran 3.45 juta pengunjung setakat 10:00 malam Sabtu, dengan pergerakan lebih 690,000 kenderaan membanjiri Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang.
Mengenai angka jualan, beliau berkata nilai keseluruhan telah melebihi RM55 juta dan berada pada landasan tepat untuk mencapai sasaran RM58 juta menjelang hari terakhir esok, dipacu oleh peningkatan jualan di semua pavilion negeri.
Mohamad turut meluahkan rasa bangga terhadap belia khususnya bumiputera yang mula menceburi bidang pertanian moden secara sepenuh masa merangkumi sektor perikanan, penternakan serta penanaman nanas.
“Kita mahu mereka menjadikan sektor ini sebagai punca mata pencarian utama dan terus memperkasakan keterjaminan makanan negara.
Syabas kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) atas usaha berterusan membimbing dan membantu bakat baharu ini,” katanya.
Mengenai jurang perdagangan agromakanan, Mohamad berkata pihaknya memberi tumpuan khusus bagi merapatkan de sit eksport dan import pertanian negara berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia DOSM).
“Nilai import barangan pertanian kita ketika ini amat tinggi iaitu melebihi RM70 bilion dengan jurang eksport yang ketara.
Oleh itu, esok saya akan membuat pengumuman khas mengenai langkah-langkah untuk meningkatkan eksport pertanian negara,” katanya.- Bernama



