SIBU: Kejayaan 92 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sacred Heart dalam SPM 2024 diraikan apabila mereka menerima insentif pendidikan berjumlah RM38,500 keseluruhannya daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Assek, Chieng Jin Ek di sini, semalam.
Pemberian insentif ini adalah satu pengiktirafan kepada generasi muda yang gigih mencipta kecemerlangan.
Dalam majlis yang berlangsung di dewan sekolah itu, Chieng menyampaikan penghargaan secara langsung kepada pelajar yang berjaya memperoleh 5A dan ke atas, sekali gus menunjukkan peningkatan prestasi akademik berbanding tahun sebelumnya, iaitu hanya 77 pelajar menerima insentif berjumlah keseluruhannya RM30,400.
“Ini bukan sekadar angka – ini lambang kegigihan, disiplin dan semangat luar biasa anak-anak Bukit Assek yang tidak gentar mencabar diri,” ujar Chieng dengan penuh bangga.
Beliau memberitahu, inisiatif itu yang mula dilaksanakan sejak 2022, tidak terhad kepada SMK Sacred Heart tetapi turut merangkumi tiga lagi sekolah menengah di kawasannya iaitu SMK Methodist, Sekolah Menengah Persendirian Tinggi Katolik dan SMK Bukit Assek.
“Insentif ini bukan hanya ganjaran, tetapi satu suntikan semangat dan dorongan.
“Ia isyarat bahawa usaha anda tidak sia-sia… masyarakat menghargai kecemerlangan dan komitmen,” tambah beliau, sambil menggesa pelajar untuk terus melangkah maju ke peringkat lebih tinggi.
Chieng turut menzahirkan penghargaan kepada guru yang menjadi tunjang kejayaan ini, serta ibu bapa yang setia menyokong anak-anak mereka dari belakang tabir.
Pengetua SMK Sacred Heart, David Teo, turut meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian pelajar dan menyifatkan ia sebagai kejayaan kolektif hasil kerjasama erat pihak sekolah, pelajar dan ibu bapa.
“Kejayaan ini bukan noktah, ia permulaan kepada lebih banyak kejayaan.
Saya mahu kita jadikan pencapaian ini sebagai batu loncatan untuk meletakkan nama sekolah ini di puncak yang lebih tinggi dalam SPM 2025,” katanya.



