Pelajar dan seks luar nikah

SEKS bebas dalam kalangan pelajar semakin berleluasa dan membimbangkan.

Perkara ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah wujud di peringkat global. Gejala ini menjadi cabaran dalam pembentukan ketamadunan manusia.

Seks bebas akan menyebabkan kelahiran anak luar nikah dan paling menyedihkan lagi apabila ada yang sanggup membuang bayi hasil perbuatan tidak bermoral itu.

Menurut kajian Healthcare Malaysia Sdn Bhd yang dibuat oleh Durex mendapati bahawa, remaja berusia 18 hingga 24 tahun paling kerap melakukan hubungan seks dan melahirkan anak luar nikah.

“Purata mereka melakukan hubungan seks adalah sebanyak 121 kali setahun atau tiga kali seminggu.

Percintaan merupakan faktor utama responden melakukan seks bebas,” menurut kajian itu.

Remaja telah mengalami perubahan dari sudut psikologi iaitu wujud keinginan seksual, perasaan berahi dan tertarik kepada individu berlainan jantina.

Ini mendorong mereka melakukan salah laku seks tanpa memikirkan kesan terhadap diri sendiri, masyarakat dan negara.

Laporan Kajian Tingkah Laku Remaja Johor yang telah dijalankan oleh Jabatan Pentadbiran dan Keadilan Sosial, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (2000) mendapati gejala seks bebas merupakan masalah kedua tertinggi selepas masalah lepak iaitu sebanyak 39.8 peratus.

Walaupun sejak kanak-kanak lagi masyarakat terutamanya yang beragama Islam telah diberitahu bahawa seks adalah satu perkara yang tidak baik melainkan adanya ikatan perkahwinan antara pasangan lelaki perempuan, namun masih ada yang terlibat dalam seks luar nikah.

Ini menunjukkan kepada kita pendidikan seks itu penting dalam memimpin anak-anak atau pelajar ke arah pemikiran dan tingkah laku positif tentang seks.

Pelajar boleh terlibat dalam hubungan seks dengan pelbagai sebab termasuk kurang pemantauan ibu bapa, pengaruh rakan sebaya, taasub dengan hubungan intim serta sejarah penderaan seks.

Selain itu, tekanan pembelajaran menjadi antara faktor sehingga ada sesetengah remaja mengadakan hubungan seks untuk menenangkan perasaan dan mengalihkan rasa kecewa.

Kedua, terdapat juga remaja percaya bahawa hubungan seks adalah bukti cinta kepada pasangannya.

Ketiga, terpengaruh dengan rakan sebaya yang sudah terjebak dalam permasalahan ini.

Keempat, mengalami masalah mental seperti kemurungan dan cemas sehingga memerlukan seks untuk menenangkan rasa cemas.

Kelima, berasa kurang harga diri.

Hubungan seks berbilang pasangan dipercayai sebagai satu bentuk me-ningkatkan harga diri. Hubungan seks mungkin meningkatkan harga diri remaja, namun kesan ini hanya sementara.

Keenam, menjadi mangsa penderaan seksual.

Ada mangsa rogol melakukan hubungan seks rambang sebagai cara untuk melupakan trauma yang dialami.

Ketujuh, pengaruh hubungan seks sering digambarkan oleh media (seperti di pawagam dan televisyen) sebagai sesuatu yang menyeronokkan.

Kelapan, menonton pornografi sehingga menimbulkan rasa ingin mencuba.

Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu memastikan gejala ini dapat dibendung daripada terus menjadi barah.

Peranan penting perlu dimainkan oleh ibu bapa dalam menerapkan pendidikan seks yang betul dan pendidikan agama. Terangkan akibat dan risiko hubungan seks bebas kepada anak-anak serta balasan yang bakal mereka dapat mengikut pandangan agama.

Paling penting, jadilah ibu bapa yang mudah didekati pada bila-bila masa terutamanya apabila mereka memerlukan pendapat atau bantuan. Selain itu, kerajaan juga perlu memperkenalkan pendidikan seks di sekolah semasa kanak-kanak belum meningkat remaja.

Suara Sarawak