PADAWAN: Seorang remaja maut manakala rakannya cedera parah selepas kereta dinaiki mereka dilanggar sebuah pikap di lampu isyarat Batu 11, Jalan Kuching-Serian.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata kejadian yang dilaporkan pada jam 11.40 malam tadi dipercayai berlaku ketika kereta yang dinaiki kedua-dua pelajar lelaki berusia 19 tahun itu datang dari arah Kuching dan hendak membuat pusingan U di lampu isyarat berkenaan.
Katanya kereta Perodua Axia itu dipandu oleh mangsa yang cedera parah yang beralamat di No.31, Taman Penrissen Height Batu 11, Jalan Kuching – Serian manakala mangsa yang meninggal dunia adalah penumpang , yang berasal dari Kampung Bengoh, Jalan Puncak Borneo.
“Semasa kereta mangsa sedang membuat pusingan U dipercayai ketika lampu isyarat masih berwarna merah, tiba-tiba pikap Ford Ranger yang dipandu seorang lelaki yang sedang bergerak lurus di lorong kanan dari arah bertentangan (dari arah Serian menghala ke Kuching) melanggar depan kereta mangsa.
“Akibat perlanggaran itu, kereta mangsa terbabas ke bahu kiri jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Abang Zainal berkata mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Hospital Umum Sarawak (HUS) kira-kira jam 2.52 pagi.
Manakala rakannya yang cedera parah telah dibawa ke HUS dan pemandu pikap terbabit iaitu seorang peniaga berusia 32 tahun tidak mengalami kecederaan.
Katanya semasa kejadian, keadaan cuaca adalah baik dan lampu isyarat jalan berfungsi dengan baik.
Beliau berkata kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.






