KUCHING: Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disaran memanfaatkan peluang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi milik Sarawak yang menawarkan pendidikan tinggi percuma.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata inisiatif tersebut disediakan bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
“Kerajaan Sarawak komited menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada anak negeri sebagai persediaan melahirkan modal insan yang mampu memenuhi keperluan pembangunan masa depan.
“Saya amat menggalakkan semua yang berada di sini hari ini mengambil peluang ini selepas tamat Tingkatan Lima,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Sarawak Space Challenge 2026 di Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak di sini, hari ini.
Menurut beliau, antara institusi yang boleh dipilih ialah Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Sibu serta Universiti Curtin Malaysia di Miri.
“Jika ingin belajar berhampiran keluarga, pilihlah Swinburne, atau jika ingin merasai pengalaman belajar di tempat lain, Curtin di Miri dan UTS di Sibu juga merupakan pilihan yang baik,” katanya.
Roland Sagah berkata, pendidikan merupakan tunjang utama dalam usaha merealisasikan aspirasi Sarawak menjadi negeri berpendapatan tinggi dan berteraskan ekonomi berasaskan pengetahuan.
“Inisiatif pendidikan tinggi percuma yang diperkenalkan kerajaan negeri membuka lebih banyak peluang kepada anak Sarawak untuk melanjutkan pengajian tanpa dibebani kekangan kewangan,” jelasnya.
Pada majlis tersebut, seramai 269 pelajar daripada 21 sekolah mengambil bahagian sebagai peserta sekali gus mencerminkan minat yang semakin meningkat dalam kalangan generasi muda terhadap bidang sains dan teknologi.
Menurut beliau, penyertaan aktif pelajar sekolah penting dalam membentuk budaya inovasi sejak di bangku sekolah sebelum mereka melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Beliau berharap lebih ramai anak Sarawak memanfaatkan peluang yang disediakan kerajaan negeri bagi meningkatkan kelayakan akademik dan kemahiran sekali gus menjadi pemacu pembangunan negeri pada masa hadapan.



