KUCHING: Pelajar yang memperoleh keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 disaran memanfaatkan peluang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi milik Sarawak bagi membantu memperkukuh pembangunan modal insan negeri.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, kerajaan negeri menyediakan pelbagai peluang kepada anak Sarawak untuk melanjutkan pengajian, termasuk menerusi pelaksanaan pendidikan tinggi percuma bagi kursus yang layak.
“Saya berharap pelajar yang memperoleh keputusan ini akan memohon tempat di universiti tempatan Sarawak dan mengambil peluang daripada inisiatif pendidikan tinggi percuma yang disediakan kerajaan negeri.
“Namun bagi saya, perkara yang lebih penting ialah apabila mereka memilih universiti tempatan, mereka turut membantu meningkatkan kedudukan dan reputasi universiti berkenaan,” katanya pada sidang media Pengumuman Keputusan STPM Sarawak yang turut dihadiri kedua-dua timbalannya, Datuk Dr Annuar Rapaee dan Datuk Francis Harden Hollis di Bangunan LCDA di sini hari ini.
Sagah berkata, pelajar cemerlang yang melanjutkan pengajian di universiti tempatan berpotensi menjadi penyelidik dan tenaga pakar yang mampu mengangkat nama institusi pendidikan tinggi Sarawak di peringkat serantau dan antarabangsa.
Katanya, usaha tersebut selaras dengan agenda pembangunan bakat negeri yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk menyokong pertumbuhan ekonomi Sarawak pada masa hadapan.
“Jika anda benar-benar cemerlang, anda akan menjadi individu yang menjalankan penyelidikan dan pelbagai inovasi yang dapat memberikan nama baik kepada universiti tempatan kita.
“Melalui cara itu, universiti di Sarawak boleh diiktiraf sebagai antara yang terbaik di rantau ini, sekali gus mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia,” katanya.
Pada masa sama, beliau memaklumkan kementeriannya bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak sentiasa berusaha menambah baik sistem pendidikan negeri bagi memastikan lebih ramai pelajar mampu memenuhi keperluan pasaran pekerjaan masa depan.
Menurutnya, pembangunan bakat akan terus menjadi keutamaan kerajaan negeri bagi memastikan Sarawak mempunyai tenaga kerja yang sesuai untuk merealisasikan dasar dan hala tuju ekonomi yang sedang dilaksanakan.
“Kami sentiasa mencari jalan untuk menjadikan sistem pendidikan kita lebih baik dan memastikan pembangunan bakat berjalan seiring dengan keperluan ekonomi negeri,” katanya.



