Pelajar UK kongsi pengalaman buang undi

KUCHING: Dewan Rakyat pada 16 Julai meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi, pendaftaran pengundi automatik, dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.

Perkara ini bukan sahaja menarik perhatian rakyat Malaysia malahan segelintir warganegara luar.

Suara Sarawak berpeluang membuat tinjauan dengan tiga remaja United Kingdom (UK) berkenaan dengan pelaksanaan had umur pengundian di Malaysia diturunkan dari 21 tahun ke 18 tahun.

Jessica Buckle, 17, berkata, pelaksanaan had mengundi pada usia 18 tahun sesuatu yang bersesuaian.

“Jika di UK, kami telah mula belajar tentang politik sejak di sekolah menengah.

“Kami mula belajar tentang politik dalam mata pelajaran seperti Inggeris dan Sejarah,” katanya.

Tambah Jessica, di sekolah, mereka dibenarkan untuk berbincang tentang fakta politik namun tidak mengecam mana-mana parti politik.

“Malah ada dalam kalangan kami telah terdedah dengan politik ketika usia masih muda iaitu lapan atau sembilan tahun.

Ketika ditanya mengenai usia 18 tahun mampu membuat keputusan dengan wajar, Jessica berkata remaja pada usia tersebut tidak mungkin akan terpengaruh dengan emosi ketika membuat keputusan.

“Di sekolah, kami sememangnya sudah didedahkan dengan cara mengundi (bukan pengundian besar seperti parlimen) tetapi bertujuan agar kami dapat merasa sendiri pengalaman mengundi tersebut.

“Kami juga dijelaskan bagaimana proses pengundian dan dinasihatkan untuk berfikir apa yang kami rasa betul tanpa melibatkan emosi,” ujarnya.

Selain itu, Chloe McGiverson, 17, berkata di UK, apabila mencapai usia 16 atau 17 tahun, terdapat segelintir mereka mengambil mata pelajaran politik untuk mendapatkan A-level.

“Di sekolah juga terdapat subjek berkaitan kemanusian yang memberi pendedahan tentang falsafah, kepercayaan, budaya dan politik.

“Apabila masuk ke peringkat yang lebih tinggi, kami bersedia untuk mempelajari perkara yang lebih ekstrem seperti politik British dan politik Amerika,” katanya.

Seperti juga di Malaysia, mereka perlu mendaftar sebelum mengundi namun ia tidak diwajibkan.

Jelas Chloe, remaja pada usia 18 tahun telah mula bekerja dan mampu membuat keputusan sendiri dan adalah tidak patut untuk tidak mengundi apabila telah diberi peluang.

“Pada usia tersebut juga, remaja di sana telah mula membayar cukai dan anda mempunyai suara untuk membuat keputusan sendiri.

“Ini suatu yang sangat bagus kerana remaja diberi peluang untuk menyuarakan apa yang mereka mahu untuk kebaikan diri mereka,” katanya.

Di samping itu, Tallis Inger, 16, berkata remaja di UK telah terdedah dengan politik pada usia yang muda.

Jelasnya, usia 18 tahun merupakan usia yang matang untuk mengundi.

“Untuk melihat seseorang itu layak untuk mengundi, kita tidak boleh menilai melalui latar belakang mereka pernah terlibat dengan politik ataupun tidak.

“Terdapat juga orang dewasa berusia 30 atau 40 tahun yang tidak pernah terdedah dengan politik secara am tapi masih boleh mengundi,” katanya.

Selagi undi anda mampu membawa kesan kepada sesuatu, anda dibenarkan untuk mengundi, kata Tallis.

Suara Sarawak