KUCHING: Pengalaman pembelajaran lapan pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) diperluas melangkaui bilik kuliah menerusi Program Mobiliti Global ke Brunei Darussalam yang berlangsung bermula 7 hingga 11 September lepas.
Penasihat Program Mobiliti, Gs. Dr. Farah Zaini, berkata program seumpama itu memberi peluang kepada pelajar memahami pembangunan melalui pengalaman sebenar dan bukan hanya melalui teori yang dipelajari di bilik kuliah.
“Apabila pelajar melihat sendiri cara pembangunan dirancang dan dilaksanakan dalam konteks yang berbeza, mereka dapat membuat perbandingan, bertanya soalan yang lebih kritikal dan memahami bahawa isu pembangunan sangat berkait dengan masyarakat, ruang, tadbir urus dan budaya setempat,” katanya dalam satu kenyataan media UNIMAS hari ini.
Menurut beliau, keterlibatan bersama Kementerian Pembangunan Brunei dan agensi teknikal berkaitan memberi nilai tambah yang besar kepada pelajar kerana mereka dapat melihat secara langsung hubungan antara dasar, institusi dan pelaksanaan pembangunan.

Jelasnya, kedudukan Sarawak, Brunei dan Kalimantan dalam rantau Borneo turut membuka ruang luas untuk kerjasama akademik kerana banyak isu pembangunan yang dihadapi mempunyai persamaan dari segi geografi, komuniti, sumber dan cabaran pembangunan.
Program anjuran Program Perancangan dan Pengurusan Pembangunan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UNIMAS itu memberi pendedahan kepada pelajar mengenai isu pembangunan, perancangan, pendidikan dan komuniti dalam konteks negara jiran di rantau Borneo.
Program berkenaan turut memperkukuh jaringan akademik dengan penglibatan pensyarah dan pelajar dari Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Teknologi Brunei (UTB), Universitas Tanjungpura (UNTAN) dan Politeknik Negeri Pontianak (POLNEP).
Antara pengisian utama ialah lawatan akademik ke UBD yang merangkumi sesi perkongsian akademik, interaksi antara pelajar dan pensyarah serta Global Classroom yang mengetengahkan perspektif pembangunan dari Malaysia, Brunei dan Indonesia.
Global Classroom menjadi platform kepada peserta untuk membincangkan isu pembangunan wilayah, pendidikan, masyarakat serta perubahan semasa yang berlaku di rantau Borneo.
Delegasi UNIMAS turut mengadakan kunjungan ke UTB bagi meneroka potensi kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan, mobiliti pelajar serta program rentas disiplin pada masa hadapan.
Salah satu komponen penting program itu ialah kunjungan rasmi ke Kementerian Pembangunan Brunei Darussalam yang memberi peluang kepada peserta mendapatkan pendedahan secara langsung mengenai sistem perancangan, pentadbiran tanah, perumahan dan pembangunan bandar di negara berkenaan.
Sesi tersebut turut melibatkan agensi di bawah kementerian, termasuk Jabatan Tanah, Kementerian Perumahan serta Jabatan Perancangan Bandar dan Desa.
Melalui sesi perkongsian bersama pegawai agensi berkenaan, pelajar dapat memahami dengan lebih dekat bagaimana dasar pembangunan diterjemahkan kepada proses perancangan, pengurusan tanah, penyediaan perumahan dan pembangunan bandar.
Penglibatan bersama Kementerian Pembangunan Brunei turut memberi ruang kepada peserta membuat perbandingan dengan amalan pembangunan di Sarawak, khususnya dari segi tadbir urus tanah, perancangan guna tanah dan pengurusan pertumbuhan bandar.
Selain itu, lawatan ke Kampong Ayer turut menjadi antara komponen penting program apabila pelajar berpeluang melihat hubungan antara penempatan tradisional, warisan, komuniti, pembangunan moden dan perancangan bandar.





