KUCHING: Satu pelan induk akan dikaji untuk memperbesar Kampung Kudei, Satok bagi menangani masalah kepadatan penduduk, selain isu tempat letak kenderaan di kawasan tersebut.
ADUN Satok Datuk Ibrahim Baki berkata, perkara tersebut akan difikirkan lebih mendalam kerana ia bukan hal yang mudah, tetapi keseluruhan penduduk berkenaan.

“Harap penduduk di sini boleh bersabar untuk kita fikir mengenai perkara ini.
Projek tersebut tidak dapat dilakukan serta-merta melihat kepada aspek-aspek tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pra Krismas 2023: Segulai Sejalai Dalam Kasih Tuhan di Balai Raya Kampung Kudei Baru di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, kerja pembesaran bagi perkampungan ini agak sukar melainkan perumahan sedia ada dirobohkan dan bina sebuah pangsapuri.
Namun, langkah ini tidak semudah yang disangka kerana akan mendapat pandangan berbeza daripada penduduk sama ada setuju atau tidak.
“Cadangan lain yang mungkin boleh dilaksanakan mungkin memindahkan penduduk ke kawasan lain seperti yang ada di perumahan Darul Hana sekarang.
“Maka, kajian yang lebih mendalam perlu difikirkan untuk mengambil pendekatan yang lebih baik supaya semua mendapat manfaat yang sama rata,” jelasnya.



