KUCHING: Koperkasa Sarawak Berhad akan memperkukuh perniagaan terasnya menerusi pelaksanaan pelan perniagaan komprehensif baharu bagi memastikan operasi dan pentadbirannya selaras dengan keperluan patuh syariah.
Pengerusinya, Ir. Zaidi Pathi berkata pelan tersebut akan memberi tumpuan kepada pengukuhan aktiviti sedia ada termasuk pembiayaan, Al-Rahnu, perniagaan emas dan pelaburan hartanah, di samping menambah baik kaedah operasi koperasi.
“Hala tuju yang akan kita laksanakan adalah memperkukuhkan perniagaan teras Koperkasa yang sedia ada.
“Kita akan tampil dengan pelan perniagaan yang komprehensif melibatkan pembiayaan, Al-Rahnu, perniagaan emas dan pelaburan hartanah, selain memantapkan kaedah operasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Mesyuarat Agung Perwakilan Tahun Ke-72 Koperkasa Sarawak Berhad.
Menurut beliau, aspek integriti turut menjadi antara fokus utama apabila semua kakitangan dan ahli lembaga koperasi akan melaksanakan ikrar bebas rasuah sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh tadbir urus organisasi.
Mengulas cabaran yang bakal dihadapi, Zaidi berkata Koperkasa kini memikul tanggungjawab lebih besar selepas dipilih sebagai antara tujuh koperasi di Malaysia yang diberi peranan menerajui pembiayaan patuh syariah.
Katanya, status tersebut memerlukan penelitian menyeluruh terhadap setiap aspek operasi termasuk pentadbiran, kewangan dan aktiviti perniagaan bagi memastikan semuanya mematuhi prinsip syariah.
“Ini merupakan satu cabaran kerana kita perlu memastikan setiap teras perniagaan yang dijalankan benar-benar memenuhi keperluan dan ketetapan syariah.
“Kita perlu melihat dengan teliti faktor yang dibenarkan dan yang tidak dibenarkan dalam melaksanakan aktiviti perniagaan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Zaidi berkata koperasi berkenaan turut merancang memperluaskan sumber pendapatan melalui pelbagai inisiatif baharu.
“Inisiatif ini termasuk mempelbagaikan vendor bagi urusan pembiayaan motosikal dan bekalan barangan tertentu bagi mewujudkan persaingan yang lebih sihat serta meningkatkan ketelusan dalam proses perolehan.
“Kita juga akan memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih terperinci dan telus sebelum dibawa untuk pertimbangan serta kelulusan ahli lembaga,” ujarnya.
Beliau turut mendedahkan perancangan untuk membuka cawangan baharu perniagaan emas dan Al-Rahnu di Samarahan dan Sibu selain membangunkan hab makanan yang memasarkan produk tempatan dari pelbagai bahagian di Sarawak.
“Koperkasa juga sedang meneroka peluang dalam sektor pelancongan termasuk kerjasama berkaitan umrah, haji dan pelancongan domestik sebagai antara sumber pendapatan baharu koperasi,” jelasnya.
Menyentuh kedudukan kewangan koperasi, beliau berkata keadaan kewangan Koperkasa ketika ini berada pada tahap yang baik dengan kadar keberhutangan yang rendah serta pelaburan yang masih terkawal.



