YINCHUAN: Pada acara amal baru-baru ini di Taizhou, Wilayah Zhejiang di tenggara China, Ma Shuai dari Ningxia, barat laut China, memeluk seorang bapa tua yang mencari anak lelakinya yang hilang, lapor Xinhua.
Pemuda itu bukanlah anak yang bertahun-tahun dicari oleh bapa itu.
Selama hampir setahun, pelari maraton itu menjadikan perlumbaan sebagai platform harapan, mengumpulkan atlet di seluruh negara untuk memakai poster kanak-kanak hilang di belakang baju mereka semasa pertandingan.
Kempen akar umbinya, Maraton untuk Kanak-Kanak Hilang membantu menyatukan semula keluarga yang terpisah selama beberapa dekad.
Dedikasi Ma bermula selepas satu peristiwa yang menghantui dirinya bertahun-tahun lalu – seorang ibu yang kehilangan anak perempuannya, Du Sisi, berusia 15 tahun, yang hilang selepas tamat sesi persekolahan, menyambut Festival Pertengahan Musim Luruh, perayaan tradisional Cina berteraskan penyatuan keluarga, di rumah Ma.
Kesedihan ibu itu meninggalkan kesan yang mendalam pada dirinya.
“Du Sisi sebaya dengan saya, namun mereka terpisah selama bertahun-tahun. Ia menyentuh hati saya,” kenang Ma.
Terinspirasi oleh keluarga yang tidak pernah berpindah atau berhenti mencari walaupun harapan semakin pudar, Ma melihat acara maraton yang menarik minat ramai orang dan perhatian media sebagai saluran yang berpotensi besar untuk meningkatkan kesedaran.
Pada perlumbaan 2024 di Wuzhong, Ningxia, Ma menyematkan di jersinya, poster kanak-kanak hilang yang pertama diusahakannya. Kempen itu dengan pantas meraih sokongan, ribuan pelari sejak itu bergabung dengannya, memakai baju yang disesuaikan dengan nama, foto dan maklumat hubungan untuk kanak-kanak hilang.
Gerakan itu mencapai kejayaan besar Januari lalu. Pada Maraton Guangzhou, seorang lelaki yang terpisah daripada keluarganya pada usia empat tahun mengenali butiran kanak-kanak pada poster seorang pelari.
Selepas 26 tahun, dia bersatu kembali dengan keluarganya – detik penuh air mata yang Ma gambarkan sebagai “garis penamat paling membanggakan”.
Walaupun ada pihak yang meragui Ma dan menuduhnya menggunakan tragedi untuk meraih perhatian, tetapi dia tidak mengendahkan tuduhan itu.
“Ini bukan acara pecutan. Ini maraton,” katanya. “Orang yang ragu akan lupa, tetapi keluarga tidak pernah berhenti berlari (mencari) .”
Selepas Taizhou, Ma menyertai Maraton Yangling di Wilayah Shaanxi, mengedarkan poster kepada sukarelawan baharu.
Setiap perlumbaan, katanya, memacu tekadnya.
“Ibu bapa ini mengharungi maraton seumur hidup. Jika larian kami dapat memendekkan tahun penantian mereka, kami akan terus berlari,” katanya.– BERNAMA






