KUCHING: Pelaksanaan pemakaian pelitup muka semula di semua sekolah negara ini bukan diwajibkan, tetapi merupakan galakan bagi melindungi para pelajar daripada jangkitan Covid-19.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang membabitkan murid dan pelajar di sekolah itu akan dikeluarkan sebelum sesi persekolahan bermula pada 2 Mei ini.
“Saya akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam masa terdekat bagi membincangkan garis panduannya.
Selepas itu barulah SOP tersebut akan dikeluarkan. “Tetapi kita tidak mewajibkan penggunaan pelitup muka, kita menggalakkan murid dan pelajar sekolah untuk menggunakannya, khususnya di tempat sempit, tertutup dan sesak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Dialog Awam Kertas Putih Kesihatan Peringkat Zon Sarawak di Hospital Umum Sarawak, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, inisiatif itu bagi memastikan para pelajar sekolah dapat ke sekolah dengan selamat dan dilindungi dari segi kesihatan.
“Setakat ini kita cuma menggalakkan kerana kalau lihat dari segi statistik jangkitan Covid-19 semasa, kadar jangkitan kes sebenarnya menurun. “Jadi kita tidak perlu panik dengan kes yang ada pada hari ini. Kes jangkita sekarang juga pada tahap rendah iaitu hanya tahap satu dan dua sahaja.
“Justeru, galakan ini sama seperti kita menggalakkan golongan dewasa menggunakan pelitup muka di tempat sesak, tertutup serta ramai orang,” jelasnya.
Terdahulu pada Rabu, Kementerian Kesihatan (KKM) memberitahu akan mengesyorkan pemakaian pelitup muka dilaksanakan semula di semua sekolah berikutan kebimbangan peningkatan kembali kes Covid-19, selain penularan varian baharu dikenali sebagai XBB.1.16 atau Arcturus.
Namun, cadangan itu bergantung kepada keputusan akhir Kementerian Pendidikan (KPM) untuk melaksanakannya atau tidak. Sementara ditanya adakah Malaysia akan mewajibkan semula pemakaian pelitup muka susulan beberapa negara kembali mengambil tindakan tersebut, katanya ia bergantung dengan situasi semasa.
“Kita akan terus memantau perkembangan semasa dan jika keadaan itu memerlukan SOP berbeza dilaksanakan, kita akan lakukan. “Tetapi setakat ini, pemantauan rapi dilaksanakan dan keputusan kita hanya menggalakkan orang ramai termasuk murid serta pelajar sekolah memakai pelitup muka.
Kita masih mengikuti garis panduan sedia ada untuk memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat kita terjamin.” tambahnya. Ahad lalu, ibu negara Vietnam, Hanoi melaksanakan semula peraturan pemakaian pelitup muka di tempat awam yang sesak dengan orang awam.
Malah beberapa negeri di India turut mewajibkan pemakaiannya di tempat awam bagi mengekang penularan Covid-19.



