Peluang anak S’wak ke Liga M

BUAT pertama kalinya dalam sejarah bola sepak Bumi Kenyalang, sejak menyertai Liga Malaysia pada 1979, Sarawak kini diwakili tiga pasukan untuk menyemarakkan Liga Malaysia 2020.

Kuching FA dan Sarawak United FC akan beraksi dalam Liga Premier, manakala Sarawak United FC II akan beraksi dalam Liga M3 yang akan dinaik taraf musim depan.

Malah, Kuching FA dan Sarawak United FC juga menghantar pasukan junior bagi menghadapi Piala Presiden.

Presiden Kuching FA, Fazzrudin Abdul Rahman menyifatkan ia memberi peluang dan ruang yang lebih luas kepada pemain tempatan Sarawak untuk beraksi di peringkat tertinggi, Liga Malaysia.

“Lebih banyak peluang untuk pemain kita sekarang ini, berbanding pada tahun-tahun sebelum ini.

“Oleh itu ia wajar direbut dan dimanfaatkan sebaik mungkin. Inilah peluang mereka untuk menimba pengalaman dan meningkatkan potensi diri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan pasukan SUFC di Dataran Asajaya, malam semalam.

Menurut Fazzrudin, walaupun pasukan Kuching FA dan SUFC akan bersaing sesama sendiri dalam Liga Premier 2020 nanti, namun mereka tetap sebagai wakil dari Sarawak.

Malah katanya, Kuching FA dan SUFC sentiasa ada jalinan kerjasama bagi kepentingan kedua-dua pihak.

“Jadi harapan kita adalah agar para penyokong di Sarawak ini menyokong Kuching FA dan SUFC. Dua pasukan ini adalah milik kita dan berada di bawah bendera Sarawak,” jelas Fazzrudin.

“Dengan kesempatan ini, saya mengucapkan tahniah kepada SUFC kerana berjaya menarik ribuan peminat ke Dataran Asajaya,” ujarnya.

Suara Sarawak