SIBU: Kertas Putih Kesihatan (HWP) yang diluluskan di Dewan Rakyat membuka laluan kepada Sarawak untuk mendapatkan haknya terhadap autonomi kesihatan awam.
Timbalan Menteri Perumahan, Kesihatan Awam dan Kerajaan Tempatan II Michael Tiang Ming Tee berkata, HWP bukan sahaja direka dan digubal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di peringkat persekutuan kerana kementerian telah berunding dengan Sarawak mengenainya.
“Ia (HWP) mengandungi apa-apa yang Sarawak mahukan dalam perkhidmatan kesihatan awam kita.
Kami memuji kelulusan kertas putih itu kerana, daripada kertas putih itu, kita perlahan-lahan akan memperoleh hak autonomi kesihatan awam,” katanya ketika ditemui media selepas menyambut ketibaan rombongan Konvoi Kembara Merdeka di Pasar Sentral Sibu di sini, semalam.
Beliau berkata, dengan kelulusan HWP itu, Kerajaan Persekutuan akan mendesentralisasikan pembuatan keputusannya.
“Mereka akan membiarkan negeri membuat keputusan tertentu mengenai kesihatan kita, peruntukan dana dan bagaimana untuk membangunkan perkhidmatan kesihatan kita di Sarawak.
“Sebenarnya di peringkat kebangsaan, ada laporan mengatakan bilangan doktor melebihi jumlah sepatutnya.
Tetapi di peringkat negeri nisbahnya masih kurang tercapai, kita masih memerlukan ramai doktor dan jururawat di Sarawak.
“Seperti yang anda tahu Sarawak adalah sebuah negeri yang besar, kita masih memerlukan banyak sumber untuk diperuntukkan ke setiap pelosok Sarawak bagi meningkatkan lagi perkhidmatan kesihatan awam kita,” kata ADUN Pelawan itu.
Tiang percaya Sarawak sedang bergerak ke hadapan dengan hak autonomi kesihatannya tidak lama lagi, terutamanya dalam meningkatkan perkhidmatan kesihatan awam di kawasan luar bandar.
“Kita boleh bantu memulihkan klinik kesihatan yang usang, kita boleh naik taraf, dan kita boleh perbaiki supaya keadaan kesihatan awam di kawasan luar bandar juga bertambah baik,” katanya.
Dewan Rakyat meluluskan HWP dengan undi suara majoriti pada 15 Jun lalu.
Undian suara itu dibuat oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat II Alice Lau Kiong Yieng selepas Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa menamatkan ucapan penggulungannya mengenai HWP.