KUCHING City FC akan berkunjung sekali lagi ke Stadium Hassanal Bolkiah dengan harapan berupaya melebarkan mata dalam aksi menentang Brunei DPMM FC, malam ini.
Jika dilihat pada rekod lima pertemuan kedua-dua pasukan dalam kempen Piala FA, Piala Malaysia dan sekali aksi liga, ternyata la adalah milik Kuching City selepas memenangi empat kemenangan dan hanya sekali tewas.
The Cats mempamerkan prestasi meyakinkan setiap kali bertemu DPMM FC dalam sama ada di pentas liga mahupun kejohanan kalah mati sekali gus memiliki kelebihan dari segi taktikal, disiplin permainan serta ketajaman penyudah.
Pertemuan pertama antara kedua-dua pasukan dalam saingan Piala FA di peringkat pusingan 16 terbaik. Pada aksi pertama yang berlangsung di Stadium Hassanal Bolkiah, DPMM FC selaku tuan rumah memanfaatkan kelebihan di tempat sendiri untuk mencatat kemenangan tipis 3-2.
The Cats bagaimanapun tidak mudah mengalah apabila berjaya menjaringkan dua gol penting di tempat lawan, sekali gus memberikan harapan besar menjelang aksi timbal balik.
Segala-galanya berubah secara dramatik dalam perlawanan kedua di Stadium Negeri apabila anak-anak buah Aidil Sharin Sahak menampilkan aksi serangan luar biasa untuk membelasah DPMM FC 7-1.
Dalam saingan Liga Super pula, aksi Kuching City dan DPMM FC dilihat lebih seimbang dari segi corak permainan, tetapi The Cats sekali lagi membuktikan keupayaan apabila mencatat kemenangan 1-0 dalam pertemuan pertama.
Sementara, dalam kempen Piala Malaysia, Kuching City terus meraih kemenangan selepas mencatat argegat 6-2 mengatasi DPMM FC tatkala menang dengan jaringan sama 3-1 di Stadium Hassanal Bolkiah dan Stadium Negeri.
Statistik jaringan juga memihak kepada Kuching City dengan 16 gol yang jauh lebih tinggi berbanding DPMM FC sekadar enam jaringan menggambarkan kelebihan dari segi keputusan, tetapi juga dominasi di atas padang.
Dari sudut individu, beberapa pemain Kuching City tampil menyerlah setiap kall bertemu DPMM FC dengan Ronald Ngah Wanja dan Danial Asri antara nama yang kerap mencatatkan jaringan penting, manakala Ramadhan Saifullah turut memainkan peranan dalam menggerakkan jentera serangan pasukan.
Bagi DPMM FC pula, beberapa pemain seperti Ramadhan Sanata, Syafiq Ahmad, Jordan Murray Hekeme Said cuba memberikan saingan, namun usaha mereka sering digagalkan oleh benteng kebal Kuching City yang diterajui James Okwuosa, Rodney Celvin, Yuki Tanigawa dan Ariff Farhan Isa sambil Haziq Nadzli cukup ampuh mengawal gawang.
Apa yang membezakan kedua-dua pasukan jelas terletak kepada disiplin taktikal dan keupayaan menyesuaikan strategi mengikut situasi perlawanan dengan Kuching City dilihat lebih verstail dalam mengawal tempo permainan serta bijak memanfaatkan peluang yang terhidang, terutamanya dalam perlawanan penting.
Kuching City kini menghuni tangga kedua dengan 43 mata, hasil daripada 13 kemenangan dalam 20 perlawanan dan lebih menarik anak didik Aidil itu hanya melepaskan 10 gol sepanjang musim, menjadikan mereka antara pasukan dengan pertahanan paling kukuh dalam liga.
Sebaliknya, DPMM FC yang berada di kedudukan kelapan dengan 22 mata masih bergelut untuk mencari rentak konsisten selepas bolos 49 gol, antara rekod pertahanan terburuk musim Ini.
Malah, The Cats memasuki perlawanan ini dengan moral tinggi selepas mencatat tiga kemenangan terakhir berturut-turut ke atas PDRM FC, Selangor dan Pulau Pinang.
DPMM FC pula berada dalam situasi bertentangan apabila gagal mencatat kemenangan dalam perlawanan terakhir. Kekalahan besar kepada Johor Darul Ta’zim 3-0 dan Kuala Lumpur dengan jaringan 4-0 menonjolkan kelemahan ketara dalam organisasi pertahanan mereka.
Justeru, kemenangan ke atas DPMM FC malam ini bakal mengukuhkan lagi kedudukan anak-anak buah Aidil sekali gus melonjakkan mata mengetepikan cabaran Selangor FC dan Kuala Lumpur (KL) City untuk menduduki tangga kedua liga apatah lagi hanya berbaki tiga dan empat perlawanan.



