TONGGAK Kuching FA, Joseph Kallang Tie tetap positif menjelang aksi ‘kalah mati’ Piala Malaysia 2020 menentang juara bertahan, JDT di gelanggang lawan Jumaat ini.
Walaupun banyak lagi yang perlu diperbaiki, namun bekas pemain Malaysia itu percaya, kejutan boleh dilakukan.
“Kami akan menentang pasukan juara, namun ia bukanlah alasan untuk mudah mengalah.
“Peluang untuk menang sentiasa ada… yang penting kami perlu bekerja lebih keras lagi,” kata Joseph.
“Pasukan nama besar dan sukar untuk ditewaskan bukanlah jaminan untuk menang. Ini kerana dalam perlawanan bola sepak segala kemungkinan boleh berlaku,” ujar bekas bintang Selangor itu.
Format Piala malaysia musim ini diubah, daripada liga berkumpulan ditukar kepada kalah mati.
Namun ia masih melibatkan 16 buah pasukan, 11 pasukan daripada Liga Super dan lima buah pasukan daripada Liga Premier.
Kuching FA mengakhiri saingan Liga Premier 2020 dengan penuh bergaya, mengalahkan pasukan Liga Super 2021, Kuala Lumpur 2-0 di Stadium Hang Jebat Sabtu lalu.
Bagi Joseph, kejayaan menduduki tangga keempat Liga Premier, memberikan semangat tambahan kepada mereka untuk terus berjuang dalam kempen Piala Malaysia.
Kuching FA melakar sejarah tersendiri, selaku kelab pertama dari Sarawak bersaing dalam Piala Malaysia dan Liga Premier. Mereka mula menyertai Piala FAM pada 2017 dan muncul naib juara 2019.
Mereka layak ke Liga Premier 2020 setelah mengalahkan pasukan utama Sarawak 3-1 dalam aksi play-off.
Sasaran mereka dalam musim pertama Liga Premier ialah berada dalam kelompok lima teratas, dan ia tercapai apabila berjaya menduduki tangga keempat.