Pemain industri pelancongan Sarawak diminta pulangkan bayaran atau panjangkan tempoh tempahan

KUCHING: Pemain industri pelancongan di Sarawak diminta memulangkan semula bayaran atau melanjutkan tempoh sah tempahan yang diterima mereka daripada pelancong luar sebagai pendekatan semasa menghadapi jangkitan 2019 Novel Koronavirus.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pendekatan ini adalah untuk mengelakkan pemain industri dan pelancong dari mengalami kerugian ekoran isu jangkitan Koronavirus berkenaan.

“Sektor pelancongan amat penting kepada negara, kebanyakan tempahan yang datang untuk melancong atau untuk lawatan sosial di dalam atau luar negara telah dibatalkan.

“Justeru itu, bagi mengelakkan kerugian, kementerian berharap agar syarikat penerbangan, perhotelan dan pengangkutan untuk mempertimbangkan keputusan bagi memulangkan semula bayaran atau memanjangkan tempoh tempahan yang telah dibuat oleh pelanggan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau yang menghadiri satu sesi dialog bersama pemain industri pelancongan di pejabatnya itu berkata para pemain industri perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh memberikan kesan terhadap ekonomi negara dan global.

“Kita tidak pasti sampai bila wabak itu akan berlaku, kita harap keadaan akan terkawal dan ekonomi akan pulih seperti sedia kala,” katanya.

Untuk rekod, pada tahun lepas, 39,933 pelancong yang berkunjung ke Sarawak datang dari China.– BERNAMA

 

Suara Sarawak