KUCHING: Mahkamah Tribunal Tuntutan Pembelian Rumah Sarawak (TTPRS) di sini hari ini memerintahkan syarikat Data Majestic Sdn Bhd untuk menjelaskan satu kes Denda Lewat Penyerahan Rumah (LAD) berjumlah RM19,660.10 kepada pembeli.
Pembeli Charlie Lawai telah menandatangani Perjanjian Jual Beli melibatkan sebuah rumah jenis teres setingkat bahagian sudut pada 1 Oktober 2018, dan Permit Menduduki (OP) sepatutnya diterima pada 21 Jun 2023 manakala tarikh serahan milikan kosong kepada pemilik adalah pada 24 Ogos 2023.
Namun demikian, pemaju gagal menyerahkan rumah terbabit seperti dalam perjanjian.
Presiden TTPRS, Trabawan Mandi berkata, tuntutan itu hendaklah dilangsaikan dalam tempoh 45 hari bermula dari tarikh hari ini.
“Sekiranya gagal menjelaskan denda, pemaju perlu membayar denda dan faedah sebanyak lapan peratus setahun kepada pembeli,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Sesi Pendengaran Kes TTPRS di Mahkamah TTPRS di sini, hari ini.
Tambah Trabawan, terdapat lima pendengaran kes tuntutan LAD hari ini, namun empat daripada kes tersebut ditunda ke tarikh lain.
Sementara itu, beliau mendedahkan bahawa pihaknya turut menerima beberapa tuntutan pembeli terhadap syarikat Sentoria Borneo Land Sdn Bhd.
Pendengaran kes turut dihadiri dua ahli panel, iaitu Mohammad Abdul Aziz Ariffin dan Robert Elone Sireng.






