Pemancuh simen cemas lori tiba-tiba terbabas

BETONG: Seorang pekerja pemancuh simen menghadapi detik cemas apabila lori simen yang dipandunya tiba-tiba terbabas di Jalan Kampung Serabang, hari ini.

Menurut pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, laporan awal kemalangan membabitkan seorang mangsa dikenali Yusri, 26 tahun telah diterima pada pukul 11.45 pagi.

Katanya, enam anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong segera dikerahkan ke lokasi kejadian bagi membantu operasi menyelamat mangsa.

“Setibanya di lokasi mendapati satu kemalangan kendiri membabitkan sebuah lori simen terbabas ke bahu jalan.

“Mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan kejadian, tambahnya, operasi ditamatkan setelah membuat pemantauan dan memastikan keadaan terkawal di kawasan kejadian.

Suara Sarawak