KUANTAN: Enam lelaki maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori satu tan di Jalan Karak Lama menghala ke Temerloh, berhampiran Klinik Desa Jambu Rias, Bentong, awal pagi tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menerima panggilan kecemasan pada 4.24 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Karak digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurut Bernama, semua mangsa ditemukan tersepit di dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM).
Pemandu lori mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
Mayat keenam-enam mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.


