SHAH ALAM: Pemandu lori yang terlibat dalam rempuhan 11 kenderaan di lampu isyarat Persiaran Mokhtar Dahari, Alam Budiman, petang semalam disahkan positif dadah jenis amphetamin/methamphetamine menerusi ujian saringan air kencing seperti dilapor Bernama.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Sarudin Samah, menyatakan lelaki berusia 51 tahun itu kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Siasatan awal menunjukkan pemandu itu mendakwa lorinya mengalami masalah brek sebelum hilang kawalan ketika menuruni bukit dari arah Puncak Perdana menghala ke Puncak Alam pada kira-kira 4.20 petang.
Lori tersebut kemudian terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar 11 kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat simpang tiga Alam Budiman.
Seorang pemandu SUV Subaru XV berusia 58 tahun cedera parah di kepala dan dirawat di zon merah Hospital UiTM Puncak Alam, manakala isteri serta cucunya serta seorang pemandu Perodua Myvi berusia 29 tahun dilaporkan stabil.



