SRI AMAN: Pemandu pacuan empat roda yang terlibat dalam kemalangan kendiri di KM-41 Jalan Sri Aman-Kuching petang semalam disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Sri Aman.
Menurut Ketua Polis Daerah Sri Aman Deputi Superintendan Mathew Manggie, pihaknya dimaklumkan tentang kemalangan pacuan empat roda jenis Toyota itu kira-kira 4.20 petang.
“Bagaimanapun sekitar 6.48 petang, pihak hospital mengesahkan pemandu kenderaan terbabit dikenali sebagai Voon Chuang Seng telah meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Sri Aman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Akibat kemalangan jelasnya, mangsa disahkan mengalami kecederaan dalaman di bahagian dada.
Polis menyiasat lanjut kes di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.



