MEMANDANGKAN Sarawak wilayah terbesar di Malaysia, ia menjadi cabaran pembangunan untuk rakyatnya menikmati kemajuan.
Kawasan luar bandar memerlukan kemajuan dari segi pembangunan fi zikal terlebih dahulu sebelum membawa kepada potensi pembangunan lain.
Kerajaan Sarawak tidak mengabaikan penduduk di kawasan luar bandar.
Buktinya, banyak projek yang dilaksanakan bagi memastikan rakyat luar bandar terhubung dan tidak terlalu terbelakang.
Mengambil contoh di zon tengah Sarawak iaitu bahagian Mukah, daerah Daro yang masih menggunakan feri sebagai pengangkutan untuk menuju ke bandar.
PROJEK JAMBATAN
Sehingga kini, masyarakat di Daro menggunakan feri untuk ke Mukah dan Sibu.
Perjalanan menggunakan feri bukan sahaja mengambil masa yang panjang, malah ia berisiko terutamanya pada musim tengkujuh kerana air sungai bergelora.
Disebabkan itu, kerajaan Sarawak melaksanakan projek jambatan bagi menggantikan penggunaan feri tersebut.
Contohnya, pembinaan Jambatan Igan pasti memudahkan penduduk di Matu serta Daro untuk ke Mukah dan sebaliknya.
Jambatan Igan memakan kos sebanyak RM285,540,000 juta dijangka siap pada April 2025 dan kemajuan kerja terkini mencecah 60.77 peratus — awal 0.90 peratus daripada jadual iaitu 59.87 peratus.
Manakala, bagi jambatan Muara Lassa yang juga dibina di kawasan Daro bagi menghubungkan ke Jambatan Paloh, ia dijangka siap pada hujung tahun ini.
Dengan adanya jambatan ini, tentunya ia merancakkan aktiviti ekonomi penduduk setempat sekali sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka.
Bukan itu sahaja, pihak kerajaan juga memberi fokus kepada pembinaan jalan raya pesisir yang ada di negeri ini.
Jalan pesisir ini untuk menjimatkan masa perjalanan dari bahagian ke bahagian.
Sebagai contoh, projek jalan pesisir adalah dari Balingian ke Bintulu.
Dengan menggunakan jalan ini, agak mudah bagi penduduk di Mukah ke Bintulu — hanya mengambil masa sekitar satu jam.
Berbanding lebuh raya Pan Borneo, Mukah ke Bintulu mengambil masa selama dua jam lebih kerana jalan yang agak jauh berbanding jalan pesisir.
PEMANTAUAN
Namun baru-baru ini, jalan di Balingian menuju ke Kuala Balingian agak teruk dan berlubang menyebabkan ramai yang meluah di Facebook tentang keadaan tersebut.
Jalan tersebut menjadi isu panas bagi penduduk di kawasan ini.
Terdapat pengguna jalan raya yang mengalami kerosakan tayar semasa menggunakan jalan tersebut susulan projek tidak dijalankan mengikut jadual.
Oleh itu, bagi menangani masalah ini, pihak kerajaan menegaskan agar agensi pelaksana seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) memastikan agar projek berjalan lancar supaya rakyat dapat menggunakannya.
Justeru, pemantauan perlu dilakukan oleh pihak bertanggungjawab agar projek yang ada di Sarawak dilaksanakan mengikut jadual.




