GEDONG: Pembabitam masyarakat luar bandar dalam sektor ekonomi strategik dijangka meningkat, impak daripada tumpuan pembangunan yang sedang dilaksanakan di kawasan berkenaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Seri Abang Johari Tun Openg, berkata antaranya adalah sektor pemakanan atau keterjaminan makanan, dan kerajaan telah membangunkan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan elektrik, air dan perhubungan digital.


“Justeru, ia akan meningkatkan lagi sektor bukan sahaja pertanian tetapi juga hasil makanan yang terus kita proses,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutupan Program Digital Desa Bank Rakyat 2025 di Anjung Pembangunan Usahawan Gedong di sini, hari ini.
Selain itu, perkara ini juga dapat dilihat ekoran akses yang ada menerusi perhubungan jalan raya, iaitu Lebuh Raya Pan Borneo dan perhubungan jalan pesisir.
Menjelas lanjut, Abang Johari berkata perhubungan jalan raya itu akan membolehkan pelancong pergi ke kawasan luar bandar, khususnya yang mempunyai tempat-tempat menarik.
“Umpamanya di Miri, Taman Negara Gunung Mulu dan Kompleks Gua Taman Negara Niah yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Arkeologi Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
“Di Kuching ini pula adalah di kawasan Padawan yang memberikan banyak akses kepada pelancong yang datang melawat di Sarawak,” ujarnya.
Dalam hal berkaitan, Abang Johari memberitahu perkara berkenaan juga dapat terus diperkasakan apabila Sarawak mengambil alih syarikat penerbangan MASWings yang sekali gus akan memberikan perkhidmatan kepada masyarakat di luar bandar.
“Contohnya, pembinaan lapangan terbang di Spaoh, Betong, yang dapat mentransformasikan bahagian tersebut serta memudahkan akses untuk pelancong luar negara datang melihat keistimewaan di kawasan luar bandar,” jelasnya.
Terdahulu, ketika berucap pada majlis berkenaan, Abang Johari memaklumkan bahawa kemahiran digital juga memainkan peranan penting untuk memperkasakan penduduk luar bandar.
“Disebabkan itu, kita menghargai usaha pihak berkenaan dalam penganjuran Program Digital Desa Bank Rakyat, yang dapat membantu memudahkan urusan kewangan dan membangunkan ekonomi orang kampung,” tegasnya.



