PEMBANGUNAN menyeluruh di Sarawak mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memastikan tiada lokaliti diabaikan.
Dalam usaha menjadikan Sarawak sebagai wilayah maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030, pembangunan harus dilaksanakan secara holistik.
Tidak hanya berfokus di kawasan bandar, tetapi memberi perhatian utama kepada luar bandar yang masih dahagakan pembangunan.
Dalam memahami aspirasi kerajaan menjana pendapatan menerusi ekonomi baharu, aspek infrastruktur rakyat perlu diambil kira.

Di Bahagian Kapit, perpindahan pusat pentadbiran baharu Indonesia di Nusantara, bakal memberi kesan positif ke arah landskap ekonomi pembangunan di sempadan Sarawak.
Bagi Penghulu Langut Dampa, perkara yang menjadi perhatian ialah isu keselamatan dan potensi ekonomi penduduk tempatan.
Menurutnya, perpindahan tersebut secara tidak langsung mewujudkan peluang ekonomi, namun pada masa yang sama, aspek keselamatan sempadan perlu ditingkatkan.
“Kami di ulu sekarang ada empangan iaitu di Baleh, Murum.
Mungkin boleh tambah penempatan anggota keselamatan kerana Ibu Kota Nusantara (IKN) dibangunkan, cuma kita tidak tahu apa-apa berlaku kelak,” katanya.
Walaupun tiada sebarang kejadian atau kes jenayah berlaku setakat ini, namun hal itu tidak boleh dipandang ringan sebaliknya memulakan langkah pencegahan seawal mungkin.
Selain itu, pembinaan jalan raya nyata membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat.
Secara tidak langsung, generasi baharu penghuni rumah panjang khususnya akan kekal berbakti di tempat sendiri.
“Ekonomi rakyat yang paling penting. Kalau tidak ada itu (jalan raya), tiada ekonomi.
“Sebab itu rumah panjang tidak ada orang kerana anakanak muda berhijrah ke bandar, ata ke Semenanjung untuk mencari kerja, berbanding terus tinggal di kawasan sendiri,”. dedahnya.
Dalam menyemarakkan semangat Segulai Sejalai, Kaunselor Dennis Mong, berharap agar pembangunan yang dibawa dan perancangan masa depan itu dapat disegerakan dalam memastikan pembangunan yang seimbang.
“Kita harap kemudahan jalan dipercepat perlaksanaannya.
Sekarang ini Jalan Jiwa Murni dari Belaga ke Nanga Merit dalam proses pembinaan, kita harap apabila jalan itu ada (siap), kita dapat menggunakan jalan raya dari Belaga terus ke Kapit,” katanya. Cari alternatif
Sebelum ini, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mendedahkan, peruntukan berjumlah RM400 juta dibelanjakan Kerajaan Sarawak dalam tempoh tiga tahun ini bagi pelaksanaan projek pembangunan di Bahagian Kapit.
Katanya, projek tersebut meliputi projek di bawah Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Projek Rakyat dan projek-projek kecil.
Menurutnya, pada umumnya Bahagian Kapit pesat membangun, begitu juga di kawasan-kawasan di luar Kapit.
“Setakat ini, semua projek pembangunan berjalan lancar, namun terdapat projek yang mengalami kelewatan disebabkan masalah logistik.
“Kita mencari alternatif lain bagi menyelesaikan isu ini dan ia berkehendakkan masa,” jelasnya sambil menambah, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kerajaan akan membuat kajian bagi projek tersebut.

Mengulas isu logistik, beliau berkata, terdapat kontraktor yang berdepan dengan masalah membawa masuk bahan pembinaan ke tapak projek.
“Sebagai alternatif, kita boleh membawa masuk bahan binaan melalui sungai.
Malah ia dapat mengurangkan kos logistik, selain hanya menggunakan darat untuk penghantaran bahan binaan,” ujarnya.
Dengan pelaksanaan projek pembesaran bandar, bandar Kapit akan mengalami perubahan landskap pembangunan.
“Sebenarnya, kita sudah ada pelan induk untuk pembesaran bandar Kapit.
Projek ini meliputi pembangunan termasuk pusat komersial, perumahan dan jalan asas yang menghubungkan bandar lama terus ke jalan utama ke Sibu,” ujarnya.
Dalam pada itu, hubungan kerjasama dua hala di antara Malaysia-Indonesia diyakini terus mengukuh dalam pelbagai sektor khususnya di Sarawak susulan perpindahan IKN di Kalimantan.
Abang Johari berharap kerjasama yang sudah lama terjalin itu dapat diperluaskan.
Menurutnya lagi, Malaysia dan Indonesia berkongsi ikatan yang dibina atas rasa hormat, kerjasama serta nilai rumpun yang sama.
Penerokaan Justeru, usaha memupuk kemakmuran demi pembangunan di rantau tersebut perlu diteruskan menerusi penerokaan pelbagai bidang berpotensi.
“Rentetan perpindahan IKN ke Nusantara, peningkatan kerjasama bilateral Indonesia dan Sarawak menerusi ekonomi, sosiobudaya, perkhidmatan komuniti, termasuklah perlindungan kanak-kanak di Pusat Pendidikan Komuniti (CLC) di ladang-ladang di Sarawak.
“Malah, potensi kolaborasi itu sekali gus menjadikan Sarawak sebagai jiran dalam semua bidang termasuk jaringan perhubungan di Borneo,” katanya.
Jaringan perhubungan antara Sarawak dan Indonesia melalui Kalimantan Barat akan dipercepat menerusi kerjasama rapat agensi dan kementerian berkaitan daripada kedua-dua pihak.
Sementara itu, Konsul Jeneral Republik Indonesia Kuching, Raden Sigit Witjaksono berkata, ketersambungan melalui darat, laut dan udara adalah penting untuk meningkatkan mobiliti barangan dan manusia.
“Kami menghargai usaha Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pengangkutan yang mengadakan lawatan ke Pontianak, Singkawang dan Sambas pada awal September lalu.
“Lawatan ini sangat menggalakkan pihak berkaitan di Sarawak dan Kalimantan Barat untuk mempercepat jaringan perhubungan keduadua wilayah ini,” dedahnya.
Langkah kerjasama itu bagi memaksimumkan faedah bagi kedua-dua komuniti dengan pemindahan ibu kota baharu di Nusantara.
Raden berharap pihaknya yang mewakili Kerajaan Indonesia di Sarawak dapat meneruskan kolaborasi pada masa hadapan dengan tujuan untuk mempertingkat dan mengukuhkan perkongsian Sarawak dan Indonesia, serta lebih meluas di dalam wilayah Borneo.



