ARTIKEL

KONGSI... Rohani ketika ditemu bual dalam program bersama Sarawak FM, pada Jumaat. Foto UKAS

Pembangunan Sri Aman terus dipergiat melalui projek berimpak tinggi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SRI AMAN: Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA) terus mempergiat usaha mempercepatkan pembangunan Bahagian Sri Aman menerusi pelaksanaan pelbagai projek strategik berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada rakyat, selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

Pengerusi SADA merangkap Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Program dan Projek Luar Bandar), Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata sehingga Jun 2026 sebanyak 13 projek di bawah seliaan agensi itu telah berjaya disiapkan, manakala pelbagai lagi projek sedang giat dilaksanakan bagi merancakkan pembangunan wilayah berkenaan.

“Antara projek utama yang telah siap ialah pembinaan Jambatan Sungai Undop di Kampung Beleti (Rumah Kedeney), pemasangan sistem lampu isyarat pintar STILE di beberapa persimpangan utama Jalan Akses Sri Aman, projek mitigasi banjir di kawasan Kejamut serta kerja-kerja menaik taraf Kampus Sarawak Skills Sri Aman.

“SADA komited memastikan setiap projek yang dirancang dapat dilaksanakan mengikut jadual demi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memperkukuh pembangunan Bahagian Sri Aman,” katanya ketika ditemu bual dalam program bersama Sarawak FM, pada Jumaat.

TERIMA KASIH… Rohani sempat merakam gambar bersama kakitangan RTM ketika hadir pada program bersama Sarawak FM, pada Jumaat. Foto UKAS

Mengulas lanjut, Rohani berkata SADA memberi penekanan kepada pembangunan sektor pertanian dan pelancongan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi wilayah dengan disokong pembangunan infrastruktur yang mampan.

Jelasnya lagi, sebanyak 12 projek pertanian bernilai lebih RM160 juta kini sedang dilaksanakan meliputi pembangunan sistem saliran dan pengairan, perlindungan tebing sungai, pembinaan jalan ladang, projek ternakan tilapia, pembangunan rumah burung walit serta kajian pembangunan ekosistem pengeluaran padi di kawasan Jelapang Batang Lupar.

Pada masa sama, beliau memberitahu sebanyak 21 projek pelancongan bernilai lebih RM10 juta turut dirancang dan dilaksanakan bagi memperkukuh potensi industri pelancongan Sri Aman.

Antara projek terbabit ialah pembangunan Kompleks Ekopelancongan Gunung Lesong di Batang Ai, pusat warisan masyarakat pribumi, kemudahan glamping, tapak perkhemahan, terminal pelawat, jeti, laluan hutan serta pelbagai kemudahan sokongan pelancongan yang lain.

Tambahnya, semua projek pembangunan yang dilaksanakan turut mengambil kira aspek pemeliharaan alam sekitar bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan dan pemuliharaan biodiversiti.

“SADA sentiasa memastikan pembangunan fizikal dilaksanakan secara lestari. Kami bekerjasama dengan WWF-Malaysia bagi memastikan projek infrastruktur tidak menjejaskan koridor habitat orang utan, khususnya di kawasan Gunung Lesong dan Batang Ai,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pembangunan sektor ekopelancongan juga dijangka membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada golongan belia, termasuk sebagai pemandu pelancong bertauliah serta pencipta kandungan digital yang mampu mempromosikan keunikan budaya dan produk pelancongan Sri Aman kepada pasaran yang lebih luas.

Katanya, usaha berterusan itu diyakini mampu merangsang pertumbuhan ekonomi setempat, meningkatkan peluang pekerjaan serta mengangkat Bahagian Sri Aman sebagai antara destinasi pelancongan dan pertanian yang berdaya saing di Sarawak.

BERITA LAIN

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan

Wilfred cadang laluan PR untuk pakar strategik Sarawak

KUCHING: Laluan taraf pemastautin tetap (PR) khusus bagi tenaga pakar strategik dicadangkan untuk menarik kepakaran antarabangsa dalam industri utama Sarawak, termasuk hidrogen hijau, kecerdasan buatan

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha