KUCHING: Semua pembayaran kepada kontraktor yang melaksanakan projek Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak adalah berdasarkan tuntutan sah dan selaras dengan prosedur yang betul.
Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia sekaligus menepis dakwaan mengelirukan ADUN Padungan, Chong Chieng Jen yang mengatakan pembayaran kepada kontraktor negeri ini lambat dilaksanakan.
“Akta Pembayaran dan Penganugerahan Industri Pembinaan (CIPAA) menyediakan mekanisme bagi pembayaran lewat dan pertikaian tuntutan.
“Sehingga kini, tiada pertikaian CIPAA yang belum diselesaikan dengan JKR Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sin, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata setakat ini JKR Sarawak melaksanakan sebanyak 189 projek bernilai RM2.93 bilion di bawah Arahan Perbendaharaan (AP) 182, dengan 14 projek telah siap, 34 dalam pembinaan dan 141 berada di peringkat prakontrak.
“Setakat ini, JKR Sarawak menerima peruntukan RM435 juta daripada Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) untuk penyelenggaraan jalan negeri bagi memastikan keadaan jalan sentiasa baik, selamat dan boleh digunakan,” ujarnya.
Di samping itu, Sarawak kini mencapai sekitar 78 peratus liputan jaringan jalan dan akan mengambil alih jalan balak aktif dan tidak aktif, serta jalan kampung dalam kawasan balak merangkumi 790 penempatan menjadi Jalan Raya Negeri (JRN).
“Jalan-jalan ini berjumlah kira-kira 5,977 km merentasi Bahagian Sri Aman, Sarikei, Sibu, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang. Langkah ini membolehkan penyedia perkhidmatan menjalankan kerja penyelenggaraan rutin dan berkala.
“Ini sekaligus meningkatkan aksesibiliti dan keterhubungan antara penempatan dengan bandar terdekat, seterusnya menyokong kesejahteraan sosioekonomi komuniti setempat,” jelasnya.
Selain itu, beliau berkata projek Lebuh Raya Trans Borneo melibatkan Miri, Limbang dan Lawas disasarkan untuk dianugerahkan pada suku pertama 2026 melalui kaedah tender terbuka mengikut Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
“Di samping itu, setakat Oktober lalu, fasa pertama projek Jalan Penghubung Sabah-Sarawak mencatatkan kemajuan fizikal 62.73 peratus dan dijangka siap pada 2027.
“Sementara itu, fasa kedua sedang berjalan dengan kemajuan fizikal keseluruhan peratus dan dijadual siap pada 2029,” tegasnya.
Bagi 121 projek jalan luar bandar dan jambatan luar bandar di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bernilai RM7.92 bilion, beliau berkata sebanyak 18 daripadanya sudah siap, 36 dalam pembinaan dan 67 pada peringkat prakontrak.
“Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM84.05 juta untuk menaik taraf empat projek jalan Jiwa Murni strategik, dengan tiga projek siap manakala Jalan dari Ba’Kelalan ke Simpang Bario mencapai 97 peratus siap.
“Selain itu, sebanyak RM988.16 juta diluluskan bagi menaik taraf dan menambah baik 11 jalan balak terbiar di seluruh Sarawak dengan dua daripadanya sudah siap, enam dalam pembinaan dan tiga berada dalam peringkat prakontrak,” tambahnya.



