KUCHING: Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak melaksanakan dua bengkel transformatif yang bertujuan merapatkan jurang digital dalam kalangan penduduk warga emas Sarawak.
Menurut kenyataan universiti dari Australia itu, di bawah Program Teknologi Digital Warga Emas (DTSP), bengkel tersebut bertujuan bukan sahaja meningkatkan kecelikan digital kumpulan itu malah memupuk rangkuman kewangan dan mengukuhkan hubungan sosial.
Katanya, bengkel pertama bertajuk ‘Hands-Ok Digital Literacy untuk komuniti Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) diadakan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak dan Spay Global.
“Dihadiri lebih dari 100 peserta termasuk ketua masyarakat dan ahli PAWE, bengkel tersebut telah disempurnakan oleh Menteri
Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah,” katanya.
Fatimah dalam ucapannya menekankan kepentingan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan warga emas sambil merujuk mereka sebagai pelajar universiti usia ke tiga.
“Swinburne Sarawak telah memainkan peranan penting dalam memperkasakan warga emas kita, mencipta peluang yang tidak ternilai untuk pembelajaran berterusan dan pengelibatan sosial.
“Pembelajaran sepanjang hayat adalah penting dan saya memuji komitmen mereka untuk memastikan warga emas kita tidak ketinggalan dalam era digital,” katanya.
Sementara bengkel kedua memfokuskan kepada masyarakat berbahasa Cina dan dianjurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kawasan Simpang Tiga Kenyalang dan Spay Global.
Dihadiri 46 peserta warga emas, latihan bertumpukan kepada Spay Global, tetapan media WhatsApp dan Google Translate.
Tetamu kehormat Kapitan Tan Cho Yian memuji peserta dalam penerimaan teknologi digital dan mengiktiraf Swinburne Sarawak kerana menyediakan peluang pembelajaran yang penting kepada segmen masyarakat ini.
Menerusi bengkel tersebut, Swinburne Sarawak berharap dapat memberi impak yang berkekalan kepada warga emas di rantau ini dengan mengurangkan pengasingan sosial, meningkatkan kemahiran komunikasi digital mereka dan memupuk hubungan sosial baharu.
Bengkel juga bertujuan untuk
menggalakkan penggunaan pembayaran digital dan menggalakkan rangkuman kewangan yang boleh meningkatkan
ekonomi tempatan.



