SPAOH: Klinik Kesihatan Spaoh merupakan projek pertama di Sarawak yang dibiayai secara hibrid antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.
Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, menyifatkan Klinik Kesihatan Spaoh dibangunkan secara “gotong-royong” melalui dana yang disalurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Menurutnya, secara keseluruhan projek tersebut menelan kos RM41.6 juta.
“Uniknya, Klinik Kesihatan Spaoh dibangunkan secara gotong-royong antara Kerajaan Persekutuan (KKM) dan Kerajaan Sarawak (BDDA).
“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang telah memperuntukkan RM16.2 juta untuk memastikan warga Spaoh dan sekitarnya menikmati kemudahan kesihatan yang terbaik suatu hari nanti,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Saban itu berkata demikian semasa merasmikan Upacara Pecah Tanah Pembinaan Klinik Kesihatan Spaoh di sini.
Sementara itu, BDDA jelasnya memperuntukkan RM20 juta bagi pembinaan kuarters di klinik berkenaan.
“Sekarang ada enam kuarters sedia ada, namun sangat uzur. Maka, kita (Kerajaan Sarawak) menerusi fasa kedua projek klinik ini akan membina kuarters baharu.
“Begitu juga Pusat Hemodialisis yang diluluskan oleh BDDA bakal dibina dengan kos RM5.4 juta.
“Secara keseluruhan, projek Klinik Kesihatan Spaoh yang dibina di atas tanah seluas empat hektar ini dijangka siap dalam tempoh 24 bulan,” ujarnya yang juga Pengerusi BDDA.
Uggah mengharapkan ia dapat disiapkan mengikut jadual supaya masyarakat dapat menikmati kemudahan kesihatan yang lebih baik.
Ketika menyentuh status projek BDDA di konstituensinya, lebih RM170 juta peruntukan sudah dibelanjakan untuk 116 projek, yang mana 31 daripadanya telah siap dan selebihnya berada di pelbagai peringkat pelaksanaan.




