ARTIKEL

Pembinaan pasar baharu Balai Ringin dijangka bermula tahun ini

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SERIAN: Pembinaan pasar baharu Balai Ringin dijadualkan bermula tahun ini selepas proses tender dimuktamadkan.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, ia sekali gus menandakan fasa baharu pembangunan infrastruktur perniagaan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, projek bernilai RM55 juta itu bakal menggantikan kemudahan sedia ada dengan kompleks pasar lebih besar, moden dan selesa kepada peniaga serta pengunjung.

“Pasar baharu itu akan menyediakan kira-kira 30 hingga 40 gerai untuk disewa melalui Majlis Daerah Serian. Peniaga boleh menjalankan pelbagai perniagaan kecil seperti menjual kuih-muih, makanan dan minuman. Kemudahan ini dijangka memberi peluang kepada lebih ramai usahawan kecil menjana pendapatan dalam persekitaran lebih teratur dan selesa.

“Selain gerai kecil, turut disediakan beberapa unit kedai bersaiz lebih besar bagi perniagaan seperti pakaian dan barangan lain. Kompleks tersebut juga akan menempatkan sebuah pusat kraf tangan khusus untuk memberi peluang kepada wanita yang mempunyai kemahiran menghasilkan produk memasarkan hasil mereka secara lebih tersusun dan profesional,” katanya ketika berucap pada program rakan UKAS 2026 berambeh Sungkey di Balai Ringin pada Rabu.

Selain ruang niaga, projek itu turut merangkumi pembangunan kawasan tebingan sungai yang akan diceriakan dengan pencahayaan lampu berwarna-warni pada waktu malam, taman kanak-kanak, surau, tandas awam serta kawasan parkir termasuk ruang khas untuk bas persiaran dan bas ekspres.

Snowdan berkata, kemudahan hentian bas itu dijangka memberi limpahan ekonomi apabila penumpang dari laluan utama seperti Kuching dan Sibu singgah untuk berehat, menjamu selera dan membeli-belah.

Pembangunan pasar baharu itu juga selari dengan pembangunan infrastruktur lain di kawasan berkenaan dan diyakini mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat serta meningkatkan imej Balai Ringin sebagai pusat tumpuan baharu di Daerah Serian. -TVS

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Golf Senior Pacu Pelancongan Sarawak

Kejohanan Golf Amatur Senior Antarabangsa Sarawak (SISAGC) 2026 bakal kembali tahun depan selepas edisi sulungnya berjaya menghimpunkan 156 pemain dari enam negara, sekali gus membuka