KUCHING: Idea pembukaan kasino di Tanah Tinggi Borneo boleh membantu memacu pertumbuhan sosioekonomi Sarawak, sekali gus menjana pendapatan penduduk setempat.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, Sarawak mempunyai kasino dapat merangsang sektor ekonomi selain meningkatkan peluang pekerjaan dan menjadi lubuk rezeki kepada masyarakat.

‘’Penubuhan ini secara tidak langsung mampu menarik lebih ramai pelabur dan pelancong ke Sarawak.
Kita boleh menubuhkan taman tema, hotel, calet dan sebagainya untuk rakyat kita mencari rezeki.
‘’Inilah harapan kita kerana apabila ramai pelancong datang ke kawasan tersebut, semua produk penduduk di sekitar kawasan misalnya hasil tanaman akan terjual dan membantu meningkatkan ekonomi mereka,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Perhimpunan Agung Tritahunan Ke-10 (TGM) Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) di Dewan Serbaguna DBNA di sini, hari ini.
Disebabkan itu, Roland menasihati orang ramai agar tidak memandang usaha tersebut dari perspektif negatif seperti menggalakkan masyarakat terlibat dalam perjudian, sebaliknya melihat dari aspek perkembangan ekonomi sosial yang dibawa menerusi pelaburan tersebut.
Bagaimanapun, beliau menyerahkan perkara tersebut kepada Kerajaan Sarawak untuk menentukan sama ada kasino boleh dibina dan beroperasi di sana.