SARATOK: Seramai 62 murid dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Kabo di sini tidak lagi perlu menempuh perjalanan jauh setiap pagi selepas Jambatan Nanga Apan siap dibina semula.
Cabaran tersebut ditempuhi selama lebih setahun selepas jambatan yang menjadi penghubung utama ke sekolah berkenaan rosak akibat banjir besar pada 19 Januari 2025, sekali gus menjejaskan akses harian murid serta penduduk setempat.
Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli berkata, sepanjang tempoh kerosakan tersebut, murid termasuk kanak-kanak prasekolah dan guru terpaksa berulang-alik sejauh kira-kira 5.2 kilometer ke SK Lempa bagi meneruskan sesi persekolahan.

“Sepanjang tempoh jambatan rosak dan dalam proses pembinaan semula, operasi persekolahan dipindahkan sementara ke SK Lempa bagi menjamin keselamatan serta kebajikan murid dan warga sekolah.
“Sepanjang tempoh tersebut, murid serta guru berulang-alik ke SK Lempa untuk sesi persekolahan,” katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan kesukaran itu berakhir apabila Jambatan Nanga Apan siap dibina semula pada 10 Februari lepas dan mula digunakan sepenuhnya pada 2 Mac lalu.
Omar berkata, perkembangan itu memberikan kelegaan besar buat murid, guru dan seluruh komuniti setempat.
“Setelah jambatan siap dibina semula, operasi persekolahan kembali berpusat di SK Ulu Kabo mulai 2 Mac lalu,” katanya.
Terdahulu, majlis perasmian pembukaan semula Jambatan Nanga Apan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik semalam.
Beliau menyifatkan pembinaan semula jambatan tersebut sebagai inisiatif penting dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan warga sekolah serta penduduk kampung yang sebelum ini berdepan kesukaran menyeberangi sungai, terutamanya ketika musim hujan dan arus deras.
“Kini, laluan yang lebih selamat dan stabil dapat dinikmati oleh semua pihak,” katanya.
Sementara itu, Friday menegaskan pembangunan infrastruktur sedemikian memainkan peranan penting dalam meningkatkan akses pendidikan selain merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.
Beliau turut memaklumkan Kerajaan Sarawak kekal komited menyediakan pelbagai kemudahan pendidikan percuma, termasuk inisiatif sokongan dan bantuan kepada pelajar bagi memastikan tiada anak Sarawak tercicir daripada mendapat pendidikan berkualiti.
Beliau turut menzahirkan komitmen berterusan bagi memastikan kebajikan rakyat, khususnya komuniti pedalaman sentiasa diberi perhatian seiring dengan agenda pembangunan inklusif negeri.



