ARTIKEL

MENDIANG Datuk Douglas Sullang Ganda

Pemergian Datuk Douglas Sullang Kehilangan Besar Buat PBB Krian

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SARATOK: Pemergian mendiang Datuk Douglas Sullang Ganda disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) khususnya di kawasan Krian, memandangkan beliau merupakan antara tokoh yang banyak berjasa dalam memperkukuh perpaduan dan kekuatan parti di peringkat akar umbi.

Ketua PBB Cawangan Krian, Bell Bernard Aggan berkata, Douglas Sullang bukan sahaja dikenali sebagai pemimpin berjiwa rakyat, malah dianggap sebagai ‘bapa’ kepada ahli-ahli PBB Krian kerana kewibawaan serta pendekatan beliau yang sentiasa mengutamakan perpaduan dalam kalangan ahli parti.

“Mendiang merupakan antara pengasas penubuhan Parti PBB di Krian dan banyak menyumbang kepada kekuatan serta kestabilan parti sehingga hari ini.

“Jasa, pengorbanan dan sumbangan beliau akan sentiasa dikenang sepanjang zaman,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.

Bell turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga atas pemergian mendiang pagi tadi serta mendoakan agar mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang penuh dukacita itu.

BELL BERNARD AGGAN

Menurut beliau, keteguhan Parti PBB Cawangan Krian merupakan antara legasi terbesar yang ditinggalkan oleh mendiang.

“Semoga roh mendiang bersemadi dengan tenang,” ujarnya.

Douglas Sullang merupakan tokoh politik dan pemimpin masyarakat yang cukup dikenali di kawasan Krian serta aktif dalam politik akar umbi.

Beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Parti PBB Cawangan Krian sebelum kepimpinan itu diteruskan oleh Bell bagi sesi 2022 hingga 2025.

Sepanjang pelibatannya dalam politik, mendiang aktif memperkukuh sokongan masyarakat luar bandar dengan Barisan Nasional (BN) dan seterusnya Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kawasan Saratok dan Krian.

Selain itu, beliau juga terlibat dalam pelbagai program pembangunan masyarakat serta usaha memperkasa politik tempatan bersama-sama kepimpinan negeri Sarawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Jalai Balingian–Sungai Anak patut diadu manah

KUCHING: Pengawa ngintu, ngadu sereta nangkir Jalai Perintah Besai Balingian–Sungai Anak ti nyambung rentayan Jalai Besai Pan Borneo begunaka perati dikena nambahka pengelikun enggau pejalai