KUCHING: Pemergian anak kesayangan, Dr Ainul Baraah, 32, yang terkorban dalam nahas helikopter di kawasan Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram petang semalam merupakan hakikat pilu yang terpaksa diterima Kamaruddin Salleh, 69.
Lebih memilukan, kepulangan Allahyarhamah ke Sarawak hanya dua hari sebelum tragedi itu tidak pernah disangka menjadi pertemuan terakhir mereka.
“Baru dua hari Ainul kembali ke Sarawak selepas pulang bercuti di Kelantan selama seminggu, hari ini kami dimaklumkan dia meninggal dunia,” katanya dengan nada pilu.

Menurut Kamaruddin, Dr Ainul merupakan anak keempat daripada lima beradik dan baru kira-kira dua tahun berkhidmat sebagai doktor secara tetap.
Allahyarhamah juga bertugas di sebuah hospital di Miri dan menyertai perkhidmatan Pasukan Doktor Udara (FDS) bagi membantu menyediakan rawatan kepada penduduk di kawasan pedalaman Sarawak.
Dalam kejadian itu, helikopter jenis BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang dilaporkan terhempas berhampiran Lapangan Terbang Pelepasan dan Pendaratan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram.
Selain Dr Ainul, mangsa lain dikenal pasti sebagai Kapten Zainol, penolong pegawai perubatan Alexson Adit serta dua jururawat, Debra Moset dan Jessie Paya.
Sementara itu, tragedi berkenaan turut mencetuskan kesedihan dalam kalangan masyarakat apabila ramai yang berkongsi ucapan takziah mengenai mangsa menerusi media sosial.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Shida Wan Mohd berkata tiada sesiapa mampu menahan air mata apabila mendengar luahan seorang bapa yang baru kehilangan anak tersayang.
“Begitulah hakikat kehidupan; ajal tidak pernah lambat dan tidak pernah juga cepat walau sesaat; apabila tiba waktunya, tiada siapa mampu menghalangnya,” katanya.
“Hari ini kita masih sempat berjumpa, bergelak ketawa dan berbual seperti biasa; kita mungkin berjanji untuk bertemu lagi esok, minggu hadapan atau pada masa akan datang; namun, siapa sangka pertemuan hari ini mungkin menjadi pertemuan terakhir,” ujarnya.
Menurutnya, mangsa tragedi itu bukan sekadar nama, sebaliknya insan yang mempunyai keluarga, sahabat, impian dan cita-cita serta insan tersayang yang sentiasa menanti kepulangan mereka.
“Namun petang ini, penantian itu bertukar menjadi berita yang paling tidak ingin didengari oleh mana-mana keluarga,” katanya.
“Negara kehilangan permata; salam takziah buat keluarga mangsa yang terlibat,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Fadli Salleh menerusi hantaran di Facebook turut berkongsi bahawa Allahyarhamah Dr Ainul sebenarnya baru sahaja kembali daripada bercuti selama seminggu di kampung halamannya di Kelantan.
Menurutnya, Allahyarhamah pernah memberitahu bapanya mengenai hasrat untuk menyambung pengajian bagi menjadi doktor pakar sebelum pulang berkhidmat di Semenanjung Malaysia.
“Allahyarhamah Ainul merupakan antara doktor yang menyertai pasukan FDS di Sarawak dan dikatakan berpindah ke negeri ini beberapa tahun lalu untuk mengikut suaminya yang bertugas sebagai guru di SK Sungai Sebatu, Sarawak,” jelasnya.
Nahas berkenaan turut mengejutkan seluruh negara, manakala rakan-rakan Dr Ainul yang juga isteri kepada Muhammad Faiz Abdul Malik serta mangsa lain meluahkan rasa sedih dan berkongsi kenangan bersama-sama mereka.
Perkhidmatan FDS sememangnya memainkan peranan penting dalam memastikan penduduk di kawasan pedalaman Sarawak mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan, khususnya di kawasan yang sukar dihubungi melalui jalan darat.



