SELANGOR: Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu terkejut dan menzahirkan rasa sedih atas pemergian Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA), Allahyarham Datuk Dr Rahman Lariwoo sebentar tadi.
Menurut Rentap, beliau seakan tidak percaya sebaik dimaklumkan mengenai berita berkenaan.
“Kita rasa sangat sedih dengan pemergian Allahyarham dan mengucap takziah kepada keluarganya,” ujar Rentap ketika ditemui Arena Suara Sarawak.
Beliau mengakui Allahyarham seorang tokoh sukan yang begitu dikagumi dan berkarisma tinggi.
Jasa Allahyarham dalam arena sukan tinju Sarawak begitu terserlah, mengambil kira kredibiliti serta kejayaan mengangkat pembangunan sukan terbabit di Sarawak.
“Kita bangga dengan pencapaian dan pembangunan sukan tinju di Sarawak ketika ini.
“Banyak kejohanan dianjurkan, termasuk pertandingan peringkat antarabangsa di Sarawak sejak tampuk kepimpinan SABA di bawah teraju Allahyarham,” tambah Rentap.
Beliau menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar terhadap dunia sukan Sarawak.
Dalam pada itu, beliau berharap berita pemergian Allahyarham tidak melemahkan semangat para petinju yang akan beraksi di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
“Memang kita tahu para petinju turut berasa sedih dan terkejut dengan berita pemergian Allahyarham.
“Akan tetapi, kita berharap petinju semua tabah dalam menghadapi situasi ini dan kekal bersemangat untuk terus berjuang di SUKMA Selangor 2026 dengan mengabadikan bersama semangat juang Allahyarham.


