KUALA LUMPUR: Pemergian komposer terkenal, Datuk S. Atan, yang meninggal dunia semalam pada usia 75 tahun disifatkan sebagai kehilangan besar buat industri muzik tanah air.
Penyanyi terkenal, Datuk Jamal Abdillah, berkata peminat muzik tempatan pasti akan terasa dan merindui sentuhan lagu-lagu Melayu yang baik daripada Allahyarham.
“Kita kehilangan seorang yang begitu bermakna dalam industri muzik tempatan,” katanya kepada BERNAMA.
Beliau ditemui di kediaman Allahyarham S. Atan, atau nama sebenarnya Hashim Said, di Taman Bukit Kajang di sini semalam.
Berita pemergian S. Atan disahkan sendiri oleh isterinya, Datin Norizan Yeob, ketika dihubungi BERNAMA.
Beliau memaklumkan suaminya telah menghembuskan nafas terakhir di rumah akibat jangkitan kuman di paru-paru.
Jamal berkata dia mempunyai beberapa lagu yang diterbitkan oleh Allahyarham, antaranya tiga lagu hari raya yang hingga kini masih menjadi siulan ramai.
“Secara peribadi, saya sangat hormati arwah. Beliau sangat tegas, terutamanya ketika dalam studio rakaman,” katanya yang memaklumkan kali terakhir berhubung dengan arwah pada Selasa lepas.
Sementara itu, adik Allahyarham dan penulis lirik Fatah Hasan, atau lebih dikenali sebagai Belle Fatah, mendedahkan bahawa beliau dan abangnya sedang menyiapkan satu projek bagi menerbitkan beberapa lagu untuk seorang artis wanita tempatan.
Fatah berkata projek itu melibatkan keseluruhan lapan lagu, iaitu tiga lagu dihasilkan oleh beliau dan lima lagi lagu akan dihasilkan oleh abangnya, namun Allahyarham sempat menyiapkan tiga lagu sahaja.
“Insya-Allah, saya akan teruskan untuk menyiapkan projek ini dan tiga lagu yang telah dihasilkan oleh abang saya akan menjadi karya terakhir dan ‘masterpiece’ S. Atan,” katanya.
Jenazah S. Atan difahamkan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang pada 11 pagi ini.
Sebagai komposer, S. Atan terkenal dengan sentuhan lagu ‘Melayu Deli’ yang dirakam beberapa penyanyi popular seperti Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Noor Kumalasari, Herman Tino dan Zaleha Hamid.
Allahyarham juga banyak menghasilkan lagu untuk hari raya sejak hampir 50 tahun lepas, antaranya ‘Menjelang Hari Raya’ dendangan Datuk DJ Dave, ‘Dari Jauh Ku Pohon Maaf’ (Sudirman), ‘Cahaya Aidilfitri’ (Black Dog Bone), ‘Salam Aidilfitri’ (Jamal Abdillah), ‘Hari Mulia’ (Datuk Sheila Majid) dan ‘Indah Beraya di Desa’ (Azlina Aziz). – BERNAMA



