ARTIKEL

RASMI… Abang Johari (tengah) dan kenamaan lain pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Perasmian Bekalan Air Tanjung Manis, semalam. - Foto UKAS

Pemerkasaan pelbagai sektor penting berpotensi melonjakkan ekonomi Kuala Rajang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

TANJUNG MANIS: Potensi beberapa sektor penting di kawasan Kuala Rajang berupaya diperkasakan melalui usaha kerajaan dengan menyediakan kemudahan asas yang diperlukan oleh rakyat di kawasan itu.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, antaranya sektor pertanian berikutan kesesuaian geografi selain tradisi ekonomi komuniti setempat sejak sekian lama.

Selain itu katanya, kewujudan hutan bakau berupaya melonjakkan potensi industri perdagangan karbon selain lumut yang menghasilkan bahan bakar penerbangan mampan (SAF).

“Kesungguhan kerajaan menyediakan semua kemudahan itu mampu memperkembangkan kepelbagaian sektor.

Apatah lagi, kita kini sudah memiliki bekalan asas penting seperti air, elektrik dan jalan raya.

“Malah siapnya Jambatan Lassa dan Jambatan Paloh pada 2027, melonjakkan potensi seluruh kawasan Lembah Rajang termasuk Igan, Daro dan Mukah.

“Pada masa yang sama, saya juga telah memberi kuasa kepada agensi dan wakil rakyat untuk menilai sendiri sektor tertentu yang perlu diberi penekanan secara khusus,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Perasmian Bekalan Air Tanjung Manis, semalam.

Abang Johari berkata, prasarana yang disediakan itu juga mampu membantu menggembangkan potensi industri lain termasuk pengeluaran padi baka berkualiti tinggi.

“Kawasan ini (Kuala Rajang) juga sesuai dengan padi, bahkan saya difahamkan, sudah ada kajian dilakukan untuk mengeluarkan benih padi yang boleh dituai mungkin dua kali setahun.

Dan kalau ini berjaya, maknanya di sini boleh dimanfaatkan untuk tujuan tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari juga optimis melalui kemudahan yang diwujudkan, kerajaan mampu melonjakkan lagi potensi Belawai dalam sektor pelancongan, sekali gus berupaya menarik kehadiran pengunjung ke kawasan itu.

“Jangan lupa ya, Paloh juga dikenal pasti berpotensi untuk industri berkaitan perkapalan.

“Ia memerlukan kuasa dan air. Sektor ini dapat meningkatkan tahap pekerjaan lebih tinggi yang menyumbang pendapatan isi rumah.

“Sebab itu saya memberi penekanan terhadap pembangunan pendidikan, malah Universiti Teknologi Sarawak (UTS) yang diwujudkan di Sibu juga mampu melahirkan modal insan yang diperlukan bukan sahaja di kawasan RADDA tetapi juga kawasan lain,” tambahnya.

BERITA LAIN

Maklumat dasar kerajaan perlu sampai ke akar umbi

BINTULU: Penyampaian maklumat mengenai dasar, inisiatif pembangunan dan bantuan kerajaan perlu diperluas hingga ke peringkat akar umbi bagi memastikan rakyat mengetahui serta dapat memanfaatkan kemudahan

BERITA TERBARU