Indonesia memilih hari ini, Rabu, 14 Februari dalam Pemilihan Umum (Pemilu) dan Pemilihan Presiden (Pilpres) 2024.
Menjadi perhatian umum ialah persaingan merebut jawatan presiden dan naib presiden melibatkan calon nombor urutan 01 Anies Baswedan-Muhaimin, 02 Prabowo-Gibran dan 03 Ganjar Pranowo-Mahfud Md.
Berdasarkan keputusan beberapa institusi tinjauan, CNN melaporkan Prabowo Subianto kukuh berada pada kedudukan teratas.
Manakala, Anies dan Ganjar saling berebut tempat kedua dalam pemilihan pada Pilpres 2024 kali ini.
Malah, isu pemilihan presiden 2024 yang diadakan dalam satu pusingan mungkin tidak berlaku, bererti Pilpres 2024 akan berlaku dua pusingan.
Komisi Pemilihan Umum (KPU) Indonesia mengumumkan, jika tiada calon memenangi pusingan pertama, Pilpres 2024 pusingan kedua bakal berlangsung pada 26 Jun, menurut Pesuruhjaya KPU, Yulianto Sudrajat pada Khamis.
Agensi melaporkan, tempoh kempen pusingan kedua bakal dijalankan 21 hari bermula 2 Jun dan proses kiraan undi pada 26 hingga 27 Jun serta pengiraan semula sehingga 20 Julai.
Pengumuman dibuat selepas keputusan kaji selidik terbaharu, menunjukkan tiada satu pun pasangan calon presiden (capres) dan calon wakil presiden (cawapres) yang diramalkan menang pada pusingan pertama.
Pilpres dua pusingan pernah berlaku pada 2004 hingga 2019 menyaksikan persaingan terbuka sukar untuk menghasilkan kemenangan bagi pemilihan satu pusingan.
Pada Pilpres 2004, terdapat lima calon perlu melalui pusingan kedua selepas pasangan regu Susilo Bambang Yudhoyono (SBY)-Jusuf Kalla meraih undi tertinggi sebanyak 33.57 peratus pada putaran pertama.
Pada pusingan kedua, Susilo Bambang Yudhoyono (SBY)-Jusuf Kalla memperoleh 60.62 peratus berbanding pesaingnya, Megawati Soekarnoputri-Hasyim Muzadi yang mendapat 39.38 peratus.
Pada sesi debat ketiga minggu lalu, jika berlaku pusingan kedua, capres Ganjar Pranowo tidak menolak kemungkinan menjalinkan kerjasama dengan Anies Baswedan, setelah kedua-duanya ‘mengasak’ Prabowo.






