DEBAK: Penduduk luar bandar perlu menyemak dan mengemas kini maklumat peribadi masing-masing di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terutama mereka yang memiliki sijil kelahiran lewat daftar berwarna merah.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, masih terdapat sijil kelahiran lama yang tidak memaparkan maklumat penting seperti bangsa pemilik.
“Kekurangan maklumat ini berpotensi menimbulkan komplikasi apabila dokumen digunakan bagi urusan rasmi termasuk pengesahan identiti di jabatan atau agensi kerajaan.
“Sesiapa yang mempunyai sijil kelahiran berwarna merah dan tidak dinyatakan bangsanya perlu segera mengemas kini dokumen tersebut.
“Pada masa hadapan, pihak berkuasa mungkin memerlukan maklumat ini untuk tujuan rasmi dan kekurangan maklumat boleh menimbulkan masalah, seperti yang saya alami beberapa bulan lalu. Proses ini tidak rumit dan JPN akan mengeluarkan sijil pendua baharu dengan maklumat lengkap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Kaunter Perkhidmatan Bergerak di Rumah Panjang Rayong Layang, Nanga Lop, Rimbas, Debak, pada Sabtu.
Uggah yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Sarawak menjelaskan, pemilik sijil kelahiran lama digalakkan hadir ke JPN untuk mendapatkan sijil baharu atau pendua yang memaparkan maklumat terkini.
Beliau menambah, pengemaskinian sijil kelahiran bukan sahaja mudah, tetapi amat penting bagi mengelakkan sebarang kesulitan pada masa akan datang khususnya dalam urusan rasmi dengan jabatan dan agensi kerajaan.
Penduduk di luar bandar dan pedalaman diingatkan supaya tidak menangguhkan proses ini demi kelancaran urusan dokumentasi pada masa depan.-TVS





